suria

Indonesia bantah penyertaan Malaysia dalam acara regu sepak takraw

PALEMBANG: Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSTI) Asnawi Abdul Rachman (gambar) menyelar tindakan Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang kembali menyenaraikan Malaysia dalam acara antara regu.

Beliau berkata tindakan itu tidak mengikut peraturan dan jika diteruskan dengan keputusan tersebut, pasti akan memberi masalah pada hari perlawanan kelak.

“Saya berpandukan pada majlis undian yang dijalankan pada Julai lalu di mana nama Malaysia tidak tersenarai dalam acara antara regu.

“Tapi sekarang Malaysia ‘memaksakan diri' untuk memasuki acara ini (antara regu). Saya yakin lapan negara lain yang turut menyertai acara itu juga akan menolak (protes),” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan pasukan tuan rumah, Indonesia, China, Pakistan, Singapura, India, Filipina, Korea Selatan dan Nepal membuat protes agar Malaysia tidak disenaraikan dalam acara berkenaan.

Penyertaan Malaysia dalam acara antara regu lelaki sebelum ini, menjadi tanda tanya selepas Malaysia tidak tersenarai dalam acara yang menjadi sandaran emas itu, sebaliknya hanya disenaraikan dalam acara regu berpasukan dan beregu berpasukan.

Namun, Presiden Astaf Datuk Abdul Halim Kader pada Jumaat mengesahkan pendirian Astaf untuk kembali menyenaraikan Malaysia dalam acara antara regu demi memikirkan kesejahteraan sejagat dan hubungan muhibah negara-negara serantau.

Aksi pertama skuad negara akan bermula esok, dalam acara regu berpasukan menentang Thailand.

sepak takraw

Artikel Sebelum

Liridon bawa tuah

Artikel Lain