suria

Karim bukan lagi anggota Majlis IAAF

KUALA LUMPUR: Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) mengumumkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim kini tidak lagi menjadi anggota Majlis IAAF.

Menurut kenyataan rasmi dalam laman web IAAF, www.iaaf.org, keputusan tersebut dibuat Panel Penilai IAAF yang mendapati Karim tidak layak (dalam Perlembagaan IAAF dan Peraturan Penilai IAAF) untuk memegang jawatan sebagai anggota Majlis badan induk olahraga dunia itu.

“Majlis IAAF sudah dimaklumkan dan Karim telah merayu berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Tiada komen lanjut akan dibuat IAAF sehingga keputusan hasil rayuan itu didengar dan diadili CAS,” kata kenyataan tersebut.

Seperti dilaporkan dalam sebuah portal sukan antarabangsa, Karim dalam satu dokumentari yang disiarkan media Jerman ARD pada Mac 2016, didakwa melindungi amalan doping di Malaysia.

Karim sebelum ini dilaporkan digantung selama enam tahun bermula pada 2012 selepas didapati bersalah bersubahat dalam kes enam atlet melarikan diri daripada ujian anti-doping yang dijalankan Institut Sukan Negara (ISN).

Karim dilantik sebagai anggota Majlis IAAF oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015.-Bernama

Datuk Karim, IAAF, KOM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain