suria

Piala Malaysia: Felda United pesta gol benam PDRM

KUALA LUMPUR: Juara Liga Premier 2018, Felda United kembali menemui rentak kemenangan selepas berpesta gol menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-0 pada aksi Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, Ahad malam.

PDRM berjaya mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi pada separuh masa pertama, namun segalanya berubah sebaik babak kedua bermula apabila barisan anak buah B. Sathianathan menggandakan asakan untuk memburu gol.

Penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes memecah kebuntuan pada minit ke-54 untuk skuad The Fighters mendahului 1-0.Barisan pertahanan ‘The Cops' dihukum lagi berselang tiga minit kemudian apabila Gilberto Fortunato pula mencatat nama sebagai penjaring.

Felda United terus bernafsu menambah jaringan, kali ini menerusi Shukor Adan dan Thiago, masing-masing pada minit ke-71 dan 87.

Thiago melengkapkan malam cemerlang pasukan berstatus kelab itu apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-90 untuk pasukannya membawa pulang tiga mata berharga.

Felda United kini memimpin Kumpulan B dengan empat mata, manakala PDRM berada di kedudukan terbawah kumpulan tanpa sebarang mata.

Sementara itu, pada aksi Kumpulan A, Felcra FC gagal menyaingi kehebatan Kuala Lumpur apabila tewas 1-4 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Turun selaku pasukan pelawat, Kuala Lumpur tidak menghadapi sebarang masalah sebaliknya mereka mendahului seawal minit keenam menerusi Guilherme De Paula yang tenang menewaskan penjaga gol ‘The Rivals', Mohamad Fadzley Abdul Rahim melalui sepakan penalti untuk ‘The City Boys' di hadapan pada separuh masa pertama.

Kuala Lumpur yang baru ‘merehatkan' jurulatihnya Fabio Marciel, dan kini tugas itu digalas sementara penolong jurulatih, Yee Fatt Chong menggandakan jaringan pada minit ke-72, sekali lagi menerusi Guilherme.

Felcra FC berjaya merapatkan kedudukan menjadi 1-2 apabila Nazrul Kamaruzaman meledak gol pada minit ke-83.Namun, Guilherme membuktikan penyudahnya amat berbisa apabila menyumbat dua lagi gol pada minit ke-84 dan 90, iaitu jaringan ke-51 beliau bersama Kuala Lumpur, sekali gus menamatkan sisa perjuangan Felcra FC.

Kemenangan itu menyaksikan Kuala Lumpur berada di tangga kedua Kumpulan A dengan mengumpul tiga mata, manakala Felcra FC di tangga tercorot dengan satu mata.-Bernama

Felda United, PDRM, Piala Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain