suria

Skuad B-16 negara mara ke separuh akhir Piala AFF

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF Bawah 16 (B-16) setelah menang tipis 1-0 ke atas Laos pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Gelora Joko Samudro, Surabaya, Indonesia, Selasa.

Kemenangan ketiga diraih skuad negara kendalian Raja Azlan Shah Raja So'ib itu menyaksikan mereka mengiringi Thailand yang muncul juara Kumpulan B setelah mencatat empat kemenangan berturut-turut.

Selepas kalah 1-2 kepada Thailand pada perlawanan pertama, Isnin lalu, skuad negara bangkit mengalahkan Brunei 6-1, Jumaat lepas, sebelum membenam Singapura 4-0, selang dua hari kemudian.

Pada perlawanan tersebut, gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain Laos, Anantaza Siphongphan seawal minit keempat setelah beliau menolak masuk ke dalam gawang sendiri hantaran silang pemain negara, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim.

Malaysia akan bertemu dengan tuan rumah, Indonesia yang muncul juara Kumpulan A manakala Thailand akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Myanmar pada peringkat separuh akhir, menurut laman sesawang Persekutuan Bola Sepak ASEAN, www.aseanfootball.org.

Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, Jawa Timur pada Khamis ini.

Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara kejohanan berkenaan pada 2013 yang berlangsung di Myanmar. - BERNAMA

Piala AFF, B-16, separuh akhir

Artikel Lain