suria

Daren ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan profesional, Liew Daren akan menggantikan Datuk Lee Chong Wei bagi membawa cabaran negara pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Terdahulu, BAM membuat kejutan dengan menyenaraikan pemain muda Cheam June Wei, kini berada di ranking ke-79 dunia, bagi menggantikan tempat Chong Wei yang terpaksa menarik diri daripada temasya sukan berkenaan ekoran mengalami masalah berkaitan pernafasan.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya terpaksa menggugurkan Cheam dengan menyenaraikan Daren pada Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) di Jakarta, hari ini.

"Maksudnya dalam acara perseorangan lelaki kita akan diwakili Daren dan Lee Zii Jia. Dari segi lain tidak ada perubahan termasuk juga sasaran dua pingat tanpa kira warna. Kita juga tidak mahu beri tekanan kepada pemain," kata Mohamad Norza, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), selepas majlis penajaan oleh Bata kepada kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 di Wisma OCM, di sini, Selasa.

Bata menyediakan 650 pasang kasut jenama Power dan 650 pasang kasut kulit dengan nilai keseluruhan RM130,000.

Susulan keputusan itu, Daren akan sertai tiga pemain perseorangan lelaki yang sudah disenaraikan sebelum ini, iaitu Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven.

Mengulas lanjut mengenai Daren, Mohamad Norza berkata beliau sudah berbincang dengan pemain berusia 31 tahun itu, dan mendapat komitmen daripada pemain berkenaan untuk beraksi di Jakarta.

"Daren sanggup bersama-sama skuad negara ke Sukan Asia dan akan mulakan sesi latihan bersama-sama pasukan pada minggu depan...seminggu sebelum ke Sukan Asia," katanya.

Daren mempamerkan semangat juang tinggi meskipun cedera buku lali kanan untuk melepasi saingan suku akhir sebelum tewas kepada Kento Momota dari Jepun pada separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China, minggu lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza mengesahkan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying akan beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang, selepas mendapat laporan kecederaan pada tumitnya daripada Institut Sukan Negara (ISN).  -- Bernama

Daren, Sukan Asia, BAM

Artikel Lain