suria

Masa depan Modric bersama Real Madrid diketahui esok

Gambar daripada AP.

PENGURUS Real Madrid Julen Lopetegui mendedahkan dia akan berbincang dengan Luka Modric (gambar) tentang masa depan pemain tengah itu pada Rabu.

Pemain tengah Croatia itu kembali daripada bercuti selepas membawa negaranya ke pentas akhir Piala Dunia yang menyaksikan skuad negara tersebut tewas kepada Perancis di Moscow.

Sumbangan Modric kepada pasukan negaranya itu diiktiraf dengan anugerah berprestij Bola Emas yang menobatkannya sebagai pemain terbaik Piala Dunia di Rusia.

Namun, walaupun menjadi pemain yang penting kepada Real Madrid, masa depan Modric bersama Los Blancos masih menjadi tanda tanya apabila berlaku spekulasi mengejutkan tentang perpindahannya ke Inter Milan.

Real sebelum ini sudah pun kehilangan seorang pemain utamanya apabila Cristiano Ronaldo melangkah ke Juventus dengan nilai perpindahan £88.8 juta (RM470 juta) pada bulan lalu dan pasukan itu tidak mahu kehilangan seorang lagi pemainnya.

Presiden kelab tersebut, Florentino Perez menegaskan sebarang nilai bidaan ke atas Modric hendaklah mencapai klausa pelepasannya bersama juara-juara Eropah sebanyak £669 juta (RM3.5 bilion).

Modric ketika meraikan sambutan kepulangan skuad Croatia daripada Piala Dunia 2018. - Reuters

Bagaimanapun, khabar angin mendakwa Modric tetap ingin menanggalkan jersi Bernabeu dan menyarung persalinan Inter dengan jumlah bayaran yang sama diperolehinya di Real.

Akhbar Sepanyol pula melaporkan bahawa perjanjian itu akan menyaksikan Modric meluangkan masa selama dua tahun di China bersama Jiangsu Suning yang juga berkongsi pemilik sama dengan Inter.

Modric dijangka menerima bayaran €60 juta (RM283 juta) bagi tempoh enam tahun sepanjang kariernya kelak.

Ketika ditanya tentang masa depan pemain berusia 32 tahun itu, Lopetegui memberitahu pemberita: "Presiden sudah meluahkan apa yang perlu dikatakan dan tiada apa lagi yang boleh diucapkan.

"Dia seorang pemain yang luar biasa dan kami menunggu ketibaannya dengan tangan terbuka," kata Lopetegui seperti yang dilaporkan Express UK.

Luka Modric

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain