suria

Nidzam kecewa pemain gagal manfaat kelebihan tempat sendiri

Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff kecewa apabila kesebelasan pemain utamanya gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Kelantan malam Ahad.

Beliau berkata Kedah sepatutnya mampu mencipta kemenangan apabila banyak peluang terhidang, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

"Secara keseluruhannya kita (Kedah) tahu kita menguasai perlawanan. Sepatutnya kita perlu mengambil peluang-peluang yang kita cipta sendiri.

"Dalam masa sama kita agak bernasib baik kerana tidak dihukum atas kesilapan sendiri, cuma kita agak rugi tidak mendapat tiga mata di tempat sendiri," katanya ketika ditemui di sini selepastamat perlawanan itu malam Ahad.

Beliau, bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya dan mengharapkan mereka dapat meningkatkannya lagi untuk berhadapan dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin akan datang bagi mengumpul mata.

Mengulas lanjut mengenai ketiadaan empat pemain tonggak utama Kedah, Mohd Nidzam berkatapasukan itu sedia maklum dan tetap akan berjuang dalam Piala Malaysia kali ini.

Dalam pada itu, pemangku jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya dalam menentang pasukan lawan.

"Saya memberi kredit kepada pasukan saya walaupun saya dapat merasakan keletihan yang amat sangat dari pemain saya, namun mereka tetap berjuang untuk mempertahankan misi kami hari ini dan sekurang-kurangnya satu mata terlaksana," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain