suria

Sukan Asia: BAM sasar pingat lebih rendah

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui perlu lebih realistik dengan sasaran pingat pada Sukan Asia 2018 di Indonesia bulan depan berikutan ketiadaan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dalam skuad negara pada temasya kali ini.

Setiausaha  Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata pihaknya tidak menafikan tanpa penyertaan Chong  Wei kali ini, peluang skuad negara meraih sekurang-kurangnya dua pingat dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan adalah lebih mencabar.

Chong Wei terpaksa digugurkan daripada skuad negara ke Sukan Asia 2018 dari 18 Ogos hingga 2 September ini akibat masalah pernafasan yang dihadapinya.

Selain itu, pemain veteran itu terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China, bermula Isnin ini.

“Ini adalah tamparan hebat kepada skuad negara dan kita perlu menilai semula dan meletakkan sasaran lebih rendah kali ini. Jika sebelum ini, sekiranya ada Chong Wei, peluang untuk meraih dua pingat cerah,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Rabu.

Beliau berkata ketiadaan Chong Wei juga membuka peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Kesemua pemain perseorangan lelaki yang disenaraikan rata-rata berusia bawah 21 tahun. Mereka ini perlu menggalas cabaran ini demi 'abang besar' (Chong  Wei),” katanya.

Ng berkata ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek. kini sedang membuat penilaian bagi menyenaraikan pengganti Chong Wei dengan tiga pemain dipertimbangkan  iaitu Iskandar Zulkarnaian Zainuddin, Lim Chi Wing dan Tan Jia Wei.

Sementara itu, Misbun percaya Chong Wei mampu mengatasi masalah kesihatan dengan baik kerana beliau adalah seorang pejuang.

“Beliau jarang sakit lama, jika tidak sihat, dua atau tiga hari sahaja beliau gelisah tidak hadir menjalani latihan. Saya harap Chong Wei cepat sembuh, dalam keadaan ini saya percaya beliau seorang ‘fighter (pejuang)',” katanya.

Misbun turut mengakui misi mencari pemain perseorangan berkaliber setanding Chong Wei dalam masa 20 tahun lagi masih sukar.

Jelasnya, pemain perlu mempunyai sifat atau kelebihan dalam aspek mentaliti, taktikal dan kekuatan fizikal serta keazaman yang tinggi seperti Chong Wei dalam sukan badminton.

Namun beliau tidak akan berputus asa dalam membantu pemain muda sehingga mereka mendapatkan prestasi yang kompetitif dalam sukan badminton.

“BAM telah berusaha mencari pengganti Chong Wei sejak dua, tiga tahun lalu...dalam keadaan sekarang ini saya tidak akan berundur. Kita perlu terima, inilah pemain yang ada dan dipilih untuk menggalas cabaran di Sukan Asia.

“Untuk menang belum tentu, pemain sangat muda lagi, saya mengambil perkara ini dalam sudut positif, ini adalah permulaan bagi pemain-pemain muda untuk menggalas cabaran negara pada masa akan datang,” katanya.-Bernama

Badminton, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain