suria

Kafa 'cari' Vida...

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu meneliti semula kontrak tajaan Vida Beauty terhadap pasukan Kelantan yang masih berbaki RM8 juta pada musim 2017.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, berdasarkan salinan kontrak antara Kafa dan Vida Beauty, penajaan pemiliknya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman pada musim lalu telah ditangguhkan.

"Jadi saya minta peguam buat susulan mengenai status tajaan Datuk Vida yang masih berbaki setahun.

"Saya difahamkan tajaan itu ditangguhkan atas persetujuan kedua-dua pihak sehingga diberitahu kemudian," katanya kepada mStar Online.

Pada Oktober tahun lalu, Tan Sri Annuar Musa yang juga presiden Kafa ketika itu duduk semeja dengan Vida dan bersetuju menangguhkan dahulu kontrak berkaitan penajaan yang pernah ditandatangani pada Januari 2016.

Vida setuju menaja Kelantan selama dua musim pada Januari 2016.

Annuar dalam satu temu bual pada 29 Oktober 2016 berkata tajaan itu ditangguhkan pada musim 2017, bukan dibatalkan kerana Vida ingin mengukuhkan perniagaan beliau.

“Kami faham keadaan itu jadi kami bersetuju menangguhkannya. Dengan ini, segala kewajipan Vida Beauty dalam kontrak masih terpakai cuma tidak dikuatkuasakan pada 2017.

“Penangguhan ini belum ada tempoh masa. Kalau pada 2018, keadaan bertambah baik, kami teruskan tetapi kalau belum bersedia, mungkin tahun berikutnya,” kata Annuar.

Mengikut kontrak, Vida Beauty bersetuju menaja Kelantan sebanyak RM8 juta semusim.

Ditanya mengenai tindakan susulan berhubung kontrak itu, Bibi menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada peguam yang dilantik.

"Kita minta peguam uruskan kerana ia membabitkan kontrak perjanjian. Mungkin rundingan antara peguam dengan peguam sahaja," katanya.

Datuk Vida, Kafa, tajaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain