suria

Tahniah! bangga dengan anda

DIDIER Drogba mengucapkan tahniah kepada Mohamed Salah selepas bintang Liverpool itu berjaya mengatasi rekod jaringan gol yang diciptanya pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Salah yang menyertai The Reds pada musim panas lalu meledak gol ke-30nya pada aksi EPL ketika bertemu Bournemouth, hujung minggu lalu.

Gol yang dijaringkannya ketika Liverpool mencatat kemenangan 3-0 memastikan Salah menjadi pemain benua Afrika yang meledak gol terbanyak dalam saingan EPL dalam satu musim.

Terdahulu, legenda Ivory Coast itu menjaringkan 29 gol pada musim 2009/2010 semasa bersama Chelsea.

Dalam mesejnya kepada Salah yang dimuatnaik menerusi laman Instagram, Drogba berkata:"Ia hanya menunggu masa sebelum lelaki ini mengatasi rekod gol saya."

"Amat bangga dengan anda kerana meletakkan benua kita di puncaknya!!," kata Drogba.

Malah Salah turut menambah koleksi kejayaannya apabila memenangi Anugerah Kasut Emas kerana muncul penjaring terbanyak dalam saingan EPL.

Pemain kebangsaan Mesir itu yang dijual oleh Chelsea pada 2016, mendahului bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane dengan empat gol.

Mohamed Salah, Liverpool

Artikel Lain