suria

Acara berbasikal trek suram tanpa pingat

Pelumba berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang semasa acara keirin lelaki akhir pada Sukan Komanwel 2018 di Velodrom Anna Meares. - Bernama

GOLD COAST: Memasuki hari kedua Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia menyaksikan skuad berbasikal trek Malaysia masih ‘suram' tanpa kilauan pingat, sekali gus kontinjen negara gagal  meneruskan kecemerlangan pada hari pertama temasya itu, Khamis.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang sekadar menamatkan perlumbaan peringkat akhir acara keirin di kedudukan keenam, dan gagal mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa walaupun mempamerkan kayuhan cemerlang, terpaksa akur di peringkat suku akhir apabila tewas 0-2 kepada pelumba New Zealand Natasha Hansen.

Kem angkat berat negara yang cemerlang pada hari pertama dengan dua pingat emas, juga gagal menyerlah pada Jumaat apabila prospek pingat negara Muhammad Erry Hidayat sekadar mengumpul 291kg dalam acara snatch dan clean  and  jerk untuk menduduki tempat kelima.

Skuad hoki lelaki dan wanita juga gagal menyinar apabila tewas kepada lawan masing-masing. Pasukan lelaki tumpas kepada England 0-7 manakala skuad wanita kalah 1-4 kepada India.

Sedikit menceriakan kem negara, apabila skuad badminton negara mara ke suku akhir acara berpasukan campuran, serta aksi cemerlang Mohd Nafiizwan Mohd Adnan dan Datuk Nicol David, masing-masing dalam acara skuasy perseorangan lelaki dan wanita.

Selepas hari kedua temasya sukan berkenaan berlangsung, kontinjen negara kekal dengan pungutan dua pingat emas.

Pada Sabtu, kontinjen negara meneruskan perjuangan memburu pingat khususnya dalam acara angkat berat, berbasikal trek serta gimnastik artistik lelaki dan wanita. - Bernama

Komanwel 2018

Artikel Sebelum

Mana Salah pergi?

Artikel Lain