suria

Perak dijangka beraksi di Stadium Ipoh bertemu PKNS FC

Pemain Perak Gilmar Filho cuba menanduk bola sambil dihalang oleh penjaga gol Pulau Pinang Amirul Asyraf Mohd Suhaidi semasa perlawanan Piala FA di Stadium Negeri Batu Kawan pada 17 Mac lalu. - Bernama

IPOH: Perak dijangka kembali beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Perak pada perlawanan suku akhir kedua Shopee Piala FA 2018 menentang PKNS FC, 21 April ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, ketika ini proses penambahbaikan stadium yang menelan belanja sekitar RM20 juta itu berada pada tahap akhir selain akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat.

"Sepatutnya 3 April (semalam) kita main di sini menentang JDT, itu cadangan awal kita dan seperti mana yang tertakluk pada jadual asal.

"Tapi apabila tarikh itu dipinda, jadi proses untuk siapkan stadium kita perlahankan sedikit tapi berjalan teratur dan saya rasa perlawanan kedua Piala FA akan boleh dilangsungkan di sini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya, di sini, petang Rabu.

Sebelum ini, Perak yang beraksi dalam saingan Liga Super menggunakan sementara Stadium TLDM Lumut sebagai gelanggang tuan rumah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Dalam pada itu Abdul Puhat berkata, aksi kedua suku akhir menentang PKNS FC itu juga penting kerana ia merupakan perhitungan kalah mati bagi merebut slot ke perlawanan separuh akhir.

"Macam mana pun kita memang nak menang di sini. Ditambah lawan kita adalah PKNS, pasukan yang tewaskan kita pada aksi sama dua tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, mengulas kesediaan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bertanding jawatan Presiden, katanya, ia merupakan keputusan tepat berdasarkan pengalaman dan ketokohan yang dimiliki.

Bagaimanapun, Abdul Puhat berkata, sekiranya Hamidin terpilih menggalas berkenan, ia dilihat agak mencabar terutama dalam hal mencari sumber kewangan untuk FAM.

"Orang lain tiada pengalaman sebaik beliau kalau kita lihat dalam soal bola sepak Malaysia sekarang cuma tugas beliau agak mencabar kerana perlu mencari sumber kewangan yang kukuh untuk FAM itu sendiri," katanya.

Piala FA, Pafa, PKNS FC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain