suria

Keputusan Terbaik KFA Rehatkan Marcote - Presiden

Marcote (dua kanan) bersalaman dengan Presiden KFA selepas menandatangani kontrak awal musim ini.

ALOR SETAR: Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan untuk merehatkan Ramon Marcote daripada tugas Ketua Jurulatih Kedah.

Presiden persatuan itu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau berharap semua pihak dapat memberi kepercayaan kepada pengurusan KFA untuk melakukan sedikit rombakan bagi membantu menaikkan semula pasukan Lang Merah.

"Keputusan untuk rehatkan Marcote bukan keputusan pengurusan KFA semata-mata kerana kita ambil kira pandangan pemain dan peminat sekali. Selepas perbincangan dibuat, kita (KFA) rasa itu keputusan terbaik untuk pasukan.

"Kita bukan buang dia (Marcote) terus daripada pasukan dan mungkin lepas ini dia akan kembali jadi ketua jurulatih. Buat masa ini Marcote diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA untuk membantu memberikan nasihat demi pembangunan pasukan dan bola sepak negeri," katanya selepas merasmikan Jualan Sentuhan Rakyat di sini, Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata pengurusan KFA memberi peluang kepada Mohd Nidzam Adzha Yusof untuk menjadi pemangku Ketua Jurulatih Kedah untuk membimbing pasukan berkenaan merangkul kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Kita sudah terlepas dua piala utama iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA dan hanya tinggal empat perlawanan sahaja lagi. Sebab itu kita beri peluang kepada Mohd Nidzam Adzha untuk bawa pasukan tempuh baki perlawanan ini dengan harapan dapat menaikkan semula kedudukan pasukan.

"Saya tahu ada peminat yang marah dengan keputusan untuk merehatkan Marcote tetapi saya minta peminat semua untuk terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada pengurusan KFA dan pemain dalam baki perlawanan yang tinggal ini," kata Ahmad Bashah.

Katanya, dia juga berharap Marcote dapat membantu pembangunan pasukan dan sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama pasukan berkenaan juga terpulang atas dirinya.

Pada Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Yusdi Madeinus Mohamad Yunus dalam satu kenyataan berkata Mohd Nidzam Adzha dilantik untuk memangku jawatan Ketua Jurulatih pasukan itu yang disandang Ramon Marcote sebelum ini.

Yusdi Madeinus berkata Marcote kini diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA bagi memantau projek pembangunan bola sepak sedia ada serta merangka persediaan skuad Hijau Kuning bagi tempoh jangka panjang.- Bernama

KFA, Ahmad Bashah

Artikel Sebelum

Artikel Lain