suria

Zaquan Tabik!

Pemain-pemain yang beraksi menentang Lubnan pada Selasa lalu.

SEPANG: Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan kebangsaan menentang Lubnan pada Selasa, menabik rakan-rakan sepasukannya yang mempamerkan aksi cemerlang, walaupun tewas 2-1 kepada pasukan yang berada di kedudukan ke-87 dunia itu.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, beliau menghormati semangat berpasukan dan karakter positif yang ditunjukkan oleh para pemain skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-178, selepas hanya dua hari menjalani latihan bersama.

“Kami memang turun padang dengan hasrat untuk meraih kemenangan… Sebelum perlawanan mula lagi, dah cakap tiada apa yang mustahil dan dah tanam keinginan untuk menang, cuma nasib tidak menyebelahi kami.

“Kami akan meneruskan aksi yang serupa apabila turun melawan Bhutan pada Ahad ini. Kami tidak boleh berasa selesa selepas aksi Lubnan, tetapi harus memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba dari Beirut, Lubnan malam tadi.

Dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Camille Chamoun Sports City Stadium di Beirut, Lubnan mendahului melalui ketua pasukannya Hassan Maatouk yang membolosi gawang Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-19 selepas pemain pertahanan Malaysia Matthew Davies melakukan faul terhadapnya dalam kawasan penalti.

Pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan bagi Malaysia pada minit ke-72, namun pasukan tuan rumah berjaya mengatasi Harimau Malaya pada minit akhir masa kecederaan menerusi Hilal El-Helwe.

Mohd Zaquan merupakan antara sembilan pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, selepas mengambil keputusan untuk melepaskan kapten Safiq Rahim serta 13 pemain daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berikutan keputusan seri 2-2 menentang Mongolia yang berada di ranking ke-189 dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Khamis lepas.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata pemain-pemain sedia ada ini akan dikekalkan untuk aksi ke atas pasukan ke-188 dunia, Bhutan di Stadium Nasional pada Ahad ini, kerana barisan kejurulatihan berpuas hati dengan aksi dipamerkan pemain-pemain tersebut.

“Perlu bagi pujian kepada sebahagian besar pemain yang pertama kali bersama pasukan kebangsaan dan bermain dalam perlawanan besar. Bukan mudah, tetapi atas keyakinan dan kepercayaan, barisan jurulatih yang beri peluang kepada mereka dan mereka balas dengan prestasi baik… Kami harap pemain-pemain tersebut dapat kekalkan prestasi konsisten sepanjang tahun ini.

“Walaupun keputusan kurang positif, tetapi kita nampak perubahan positif dari segi corak permainan yang boleh menguasai permainan dan beberapa serangan yang kita hampir jaringkan gol. Jikalau kita ambil peluang tersebut, kita boleh sekurang-kurangnya seri atau sebaliknya," katanya.

Beliau turut mengingatkan para pemain skuad Harimau Malaya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan Bhutan, dalam misi mencari kemenangan selepas mengharungi 12 perlawanan tanpa kemenangan.

Kali terakhir pasukan kebangsaan mencatat kemenangan ketika menewaskan Kemboja 3-2 semasa kempen Piala AFF 2016, pada November tahun itu.- Bernama

Mohd Zaquan Adha

Artikel Sebelum

Artikel Lain