suria

Nilai Salah Cecah £150 juta Jika Pindah Ke Kelab Baharu

PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah dianggarkan bernilai £150 juta (RM823 juta) jika berpindah dari kelab gergasi itu menjelang musim panas akan datang, ujar Tony Cottee.

Bintang antarabangsa kelahiran Mesir itu menjaringkan empat daripada lima gol sewaktu perlawanan menentang Watford pada Sabtu lalu.

Setakat ini, khabar angin banyak mengaitkan Real Madrid dengan perpindahan bintang itu.

Kos perpindahan itu dikatakan hampir sama nilainya dengan jumlah yang dibayar Barcelona sebanyak £146 juta (RM801 juta) bagi mendapatkan Philippe Coutinho dari Anfield.

Menurut Cottee, dia merasakan Liverpool akan menjual Salah dengan harga yang hampir sama dengan Countinho.

"Tapi, dia baru sahaja bersama dengan Liverpool, dia bermain dengan bagus musim ini. Mahukah dia tinggalkan kelabnya sekarang?.

"Banyak yang sedang berlaku dalam kelab itu. Saya tak rasa Salah mahu berpindah.

"Tapi kalau dia berpindah, saya rasa mereka mahu dia dibayar dengan harga itu," ujar Cottee kepada Premier League Daily.

Cottee turut membuat perbandingan antara Salah dan Lionel Messi, namun dia beranggapan anak buah Jurgen Klopp itu perlu buktikan kemampuannya dahulu sebelum diletakkan setaraf dengan pemain sensasi Argentina itu.

"Bukan mudah untuk membandingkan mana-mana pemain dengan Messi, tapi kedua-dua Messi dan Salah sama-sama bermain dengan kaki kiri, malah lariannya juga hampir sama dengan Messi.

"Apa yang tak sama ialah Messi sudah bermain lama, Salah pun bagus cuma dia perlu konsisten sehingga banyak musim bagi membuktikan kemampuannya.

"Namun untuk musim pertamanya, prestasi Salah sangat bagus," ujar Cotttee lagi.

Tambahnya, sudah tentu dia akan mengundi Salah jika bintang itu tercalon dalam kategori pemain tahunan terbaik PFA.

Jelas Cottee, dia yakin Salah akan menjadi popular.

Malah, dia merasakan De Bruyne dan Salah akan berentap dalam kategori itu dan dia yakin Salah mampu merangkulnya.-SkySport


Salah, Contee

Artikel Lain