suria

Denda RM1.5 Juta: KLFA Bakal Buat Rayuan

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan mengemukakan permohonan rayuan berhubung denda yang dikenakan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

KLFA dikenakan hukuman sebanyak RM1.5 juta gara-gara gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sehingga tarikh tutup terakhir pada 5 Mac lalu.

"Kami akan membuat rayuan dan akan menghantar kepada FMLLP minggu ini.

"Diharap jumlah denda yang dikenakan dapat dikurangkan," ujar Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

KLFA antara empat pasukan daripada Liga Super yang dikenakan denda RM1.5 juta dan jumlah itu akan dipotong terus daripada geran tahunan RM3 juta yang diberikan oleh FMLLP.

Sementara itu, enam pasukan daripada Liga Premier yang dikenakan denda RM500,000 akan turut dipotong daripada geran RM1 juta.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP memberitahu, rayuan semua pasukan terbabit akan diputuskan ahli lembaga dan berharap keputusannya akan diketahui sebelum Kongres FMLLP pada 25 Mac ini.

Rata-rata pasukan yang dikenakan denda ini mengakui jumlah yang perlu dibayar terlalu tinggi.

KLFA, Rayuan

Artikel Lain