suria

Denda FMLLP: Masa Depan Pulau Pinang Makin Gelap - FAP

PETALING JAYA: Masa depan bola sepak Pulau Pinang semakin gelap selepas dilanda masalah kewangan.

Terbaharu, seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga', Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berdepan hukuman denda RM500,000 daripada Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) kerana gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sehingga tarikh tutup terakhir pada 5 Mac lalu.

Naib Presiden FAP, Azizudin Mohd Shariff berkata, pihaknya mempunyai masalah kewangan yang meruncing buat masa ini.


"Selagi tunggakan hutang musim lalu tidak dijelaskan, masalah pendaftaran ini tidak akan selesai.

"Kami bukan kecewa cuma rasa hukuman yang dikenakan FMLLP ini terlalu berat dan rasanya ia tidak akan selesai dalam tempoh terdekat ini.

"Sekarang kita masih mencari penaja untuk menyokong perbelanjaan musim ini. Apabila kena pula hukuman macam ni, lagilah FAP makin bermasalah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Azizudin, pihaknya juga masih menunggu subsidi RM1 juta yang akan diberikan FMLLP.

"Kita masih menunggu lagi dana itu walaupun sedar akan dipotong untuk membayar denda ini. Baki RM500,000 memang tidak mencukupi.

"Kami akan hantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP untuk menjelaskan masalah yang dihadapi FAP sekarang.

"Selain perbelanjaan tahun ini, kami perlu menyelesaikan pembayaran EPF serta tunggakan dua bulan gaji pemain musim lalu.

"Kami rasa masa depan bola sepak Pulau Pinang makin gelap.

"Saya berharap nanti, pihak FMLLP menarik balik denda itu atau mengurangkan jumlahnya," ujar Azizudin.

Pada Selasa lalu, FMLLP mengumumkan hukuman denda kepada pasukan yang gagal atau lambat melengkap pendaftaran pasukan sebelum 5 Mac 2018.

Enam pasukan - Mifa, UKM FC, Selangor, PKNS FC, PDRM dan Kuala Lumpur dikenakan denda lewat.

Manakala empat lagi pasukan dikenakan denda kerana gagal melengkapkan dokumen ialah Kelantan, Kuantan FA, Pulau Pinang dan Sarawak.

Denda sebanyak RM1.5 juta dikenakan kepada pasukan yang beraksi dalam Liga Super manakala RM500,000 untuk pasukan Liga Premier.

FMLLP, FAP, Denda

Artikel Berikut

Artikel Lain