suria

Ketiadaan Safee, Anderson Jejas Rentak PKNS FC

SHAH ALAM:  Ketiadaan pemain import dari Australia, Zac Anderson dan penyerang berbisa, Mohd Safee Sali memberi kesan kepada corak permainan pasukan PKNS FC yang tewas 3-4 kepada Kedah pada aksi keempat Liga Super di Stadium Shah Alam pada Ahad malam.

Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal mengakui ketiadaan Anderson yang menjadi nadi di bahagian pertahanan tengah, serta Safee yang merupakan peledak utama skuad 'Semut Merah' menyebabkan pemain hilang punca sehingga membenarkan pelawat meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

"Saya bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaian pasukan yang tidak berputus asa untuk merapatkan jurang jaringan kepada 3-4 pada penghujung babak perlawanan.

"Bahagian pertahanan kita perlu diperbaiki kerana memberi banyak ruang kepada Kedah untuk mencipta peluang menjaringkan gol, " katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Mengulas lanjut, bekas pengendali skuad senior kebangsaan itu memaklumkan kegagalan pemain import dari Brazil, Rafael Ramazotti menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72 menjadi titik kebangkitan kepada Kedah untuk meraih gol kemenangan.

Sementara itu, Ketua jurulatih Kedah Ramon Marcote memuji pemainnya yang tidak berputus asa biarpun ketinggalan pada awal permainan.

“Kami bangkit mencari gol penyamaan selepas ketinggalan dua kali, dan saya memuji kesemua pemain kerana tidak berputus asa dan lebih penting, kita berjaya meraih tiga mata penting,” kata jurulatih kelahiran Sepanyol itu.

Pada perlawanan itu, PKNS FC mendahului 2-1 pada babak pertama perlawanan menerusi jaringan Muhammad Faris Ramli pada minit ke-30 dan Mahalli Jasuli pada minit ke-45 manakala Kedah merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti disempurnakan pemain import dari Kosovo, Liridon Krasniqi pada minit ke-32.

Kedah berjaya menambah tiga lagi gol menerusi Liridon pada minit ke-55, Baddrol Bakhtiar (minit ke-67) dan Muhammad Ariff Farhan Md Isa pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, sebelum Mahalli merapatkan defisit jaringan pada penghujung perlawanan.- Bernama

Rajagobal, PKNS FC

Artikel Berikut

Artikel Lain