suria

JDT Tumpas Dengan Kuala Lumpur, Morais Tidak Salahkan Pemain

KUALA LUMPUR: Beraksi dengan corak permainan menyerang dan mencipta banyak peluang akan menghasilkan lebih banyak kemenangan daripada kekalahan, kata ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Ulisses Morais.

Ditemui pemberita selepas JDT tumpas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad, pengendali kelahiran Portugal itu tidak menyalahkan pemainnya kerana gagal menjaringkan gol menentang Kuala Lumpur yang memperaga corak permainan bertahan, kerana situasi tersebut jarang berlaku kepada pasukan dari selatan tanah air itu.

“Biasanya apabila kita mencipta banyak peluang, kita akan menjaringkan sekurang-kurangnya satu atau dua gol. Namun pada perlawanan hari  ini, kita gagal membolosi gawang lawan. Jika anda tidak menjaringkan gol, pihak lawan akan menjaringkan gol, ini yang berlaku hari ini.

“Itu kesilapan kita kerana Kuala Lumpur hanya ada dua atau tiga peluang tetapi mereka berjaya menjaringkan gol. Jika kita terus mencipta banyak peluang, kita akan memenangi banyak perlawanan daripada kalah,” katanya.

Morais.

Kuala Lumpur meraih tiga mata selepas berjaya mempertahankan kelebihan 1-0 ke atas juara Liga Super empat kali berturut-turut itu dalam perlawanan berlangsung 33 minit pada Ahad, selepas aksi berkenaan pada malam Ahad, ditangguhkan pada minit ke-56 berikutan hujan lebat dan keadaan padang becak dan air bertakung.

Pemain import Kuala Lumpur dari Brazil, Paulo Josue menyumbat masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-45, sekali gus menyaksikan skuad ‘City Hawk' mencatat kemenangan pertama musim ini.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur Fabios Maciel berkata pasukannya berjaya menewaskan skuad Harimau Selatan tersebut, setelah beliau menganalisa corak permainan dan beberapa  kelemahan pasukan lawan.

“Pada dua perlawanan sebelum ini, kita menguasai permainan tetapi gagal menjaringkan gol. Hari ini, kita mempunyai lapan peluang terbaik dan membiarkan JDT mengawal permainan.

“Semalam selepas perlawanan saya pulang ke rumah, dua kali saya menyaksikan perlawanan itu. JDT  sebuah pasukan yang hebat tetapi mereka juga mempunyai kelemahan. Jadi, saya kenal pasti kelemahan itu dan memanfaatkan kelemahan itu untuk menghalang mereka daripada menjaringkan gol,” katanya.

Pada perlawanan seterusnya, JDT akan berdepan Melaka United di Larkin pada 24 Feb, manakala Kuala Lumpur bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 25 Feb. - Bernama

JDT, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain