suria

JDT Unggul Di Puncak Liga Super

Pemain JDT Mohd Fadhli Mohd Shas meraikan jaringannya ketika menentang PKNP FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin pada Selasa malam. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas menang selesa 3-0 ke atas pasukan kelab PKNP FC pada aksi kedua liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Selasa malam.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan yang merupakan juara Piala Sumbangsih 2018, kekal mendahului carta Liga Super dengan kutipan enam mata selepas beraksi dua perlawanan.

Tiga gol pasukan JDT pada perlawanan berkenaan dijaringkan oleh Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-43, Mohd Fadhli Mohd Shas minit ke-57 dan Natxo Insa pada penghujung babak perlawanan.

Dalam pada itu, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 berdepan pasukan jiran, Terengganu FC I (TFC I) pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Tchetche Hermann Brice Kipre seawal minit pertama sebelum pemain import dari Korea Selatan, Do Dong-hyun menyamakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-38 selepas Nik Mohd Shahrul Azim Nik Abdul Halim dijatuhkan oleh pemain pelawat di dalam kotak penalti.-Bernama

JDT, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Felda United Menang Bergaya

Artikel Lain