suria

Baddrol Idam Lebih Banyak Trofi Musim Depan

Baddrol bergambar bersama tiga trofi yang dimenanginya pada ABK17 yang diadakan di sebuah hotel malam Jumaat. fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Kejayaan memenangi tiga trofi pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2017) membakar semangat pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar untuk memburu lebih banyak trofi bersama skuad Lang Merah pada saingan Liga Malaysia 2018.

Anak jati Sungai Petani itu menjelaskan beliau tidak menyangka dapat meraih anugerah Pemain Paling Bernilai, Penjaring Terbanyak (Tempatan) Liga Super selain Pemain Tengah Terbaik pada ABK 2017 kerana mengakui terdapat calon lain yang turut layak untuk menerima anugerah berkenaan.

"Pencapaian pada malam ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan serta penyokong di tanah air serta di Kedah yang sentiasa memberi sokongan padu kepada saya untuk membuatkan kami beraksi lebih cemerlang.

"Saya sebenarnya tidak menyangka dapat meraih tiga anugerah ini dan saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T di atas anugerah ini dan saya akui memang amat idamkan anugerah Pemain Paling Bernilai," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis anugerah berkenaan, di sini, malam Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bersedia untuk memikul tugas selaku kapten baharu skuad Lang Merah selepas Khairul Helmi Johari menyatakan hasrat untuk melepaskan tugas berkenaan, baru-baru ini.

"Saya menyerahkan kepada rakan sepasukan untuk memilih kapten pasukan Kedah yang baharu namun saya mengharapkan Khairul Helmi dapat memakai lilitan kapten untuk satu musim lagi kerana kami masih percaya dengan kemampuan beliau untuk memimpin pasukan Kedah," kata Baddrol yang sudah 11 musim menabur bakti bersama negeri kelahirannya dalam saingan Liga Malaysia.

Berkongsi pandangan sama ialah pemain import Kedah, Liridon Krasniqi yang mahu melakar lebih banyak kejayaan bersama-sama pasukan Lang Merah selepas memenangi Anugerah Pemain Import Terbaik serta Anugerah Pemain Paling Popular untuk dua tahun berturut-turut.

"Saya amat gembira atas kejayaan memenangi dua anugerah yang turut menaikkan keyakinan saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kedah yang sentiasa bersama-sama pasukan dalam apa juga keadaan sama ada gembira atau duka,” kata pemain tengah dan penyerang kelahiran Kosovo itu.

Lebih manis lagi, Kedah yang muncul juara Piala FA musim ini turut memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik menerusi Ifwat Akmal Chek Kassim, Anugerah Kelab Penyokong Terbaik dan juga Pasukan Bola Sepak Terbaik. - BERNAMA

ABK17, Baddrol Bakhtiar

Artikel Sebelum

Artikel Lain