suria

Kejohanan Tiga Penjuru Nilai Kemampuan Kelantan

KOTA BHARU: Kejohanan tiga penjuru antara kelab Asia Tenggara, Piala Super Boost SportsFix, akan menjadi platfrom bagi Kelantan menilai kemampuan pemain dan barisan kejurulatihan pasukan itu sebelum beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Illias Khan berkata kejohanan itu bakal menjadi ‘acara pemanas' yang positif kepada The Red Warriors (TRW) sebelum beraksi pada pentas sebenar tahun depan.

"Ia akan memberi peluang kepada kami menilai tahap permainan pasukan apabila diberikan peluang beraksi bersama pasukan hebat dari Indonesia dan Thailand," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kelantan akan mewakili Malaysia dalam kejohanan tiga penjuru itu yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 13 hingga 20 Jan depan.

Selain Kelantan, dua pasukan lain iaitu Persija Jakarta akan mewakili Indonesia dan Ratchaburi FC pula mewakili Thailand.

Bibi Ramjani berkata kejohanan itu juga akan memberikan pengalaman baharu kepada pemain muda sekali gus diyakini dapat membantu membentuk keserasian pasukan kendalian Sathit Bensoh itu.

"Kita sedia maklum Kelantan dibarisi oleh muka baharu dan pemain muda pada musim depan, justeru kejohanan seumpama ini dirasakan sangat membantu kami dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi aksi Liga-M," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penganjur kejohanan kerana telah memilih Kelantan untuk beraksi dalam kejohanan yang julung kali diadakan itu.

"Terima kasih kepada pihak berkaitan yang telah memilih Kelantan walaupun kita tahu masih banyak pasukan negeri dan kelab lain yang hebat daripada kami dan ia merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna kepada kami," katanya.- Bernama

The Red Warrior

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sah Marcote Kendali Kedah!

Artikel Lain