suria

Cheng Hoe Bebas Pilih - TMJ

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu diberi kebebasan untuk memilih barisan pembantunya, demikian jelas Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menjelaskan, Tan Cheng Hoe adalah individu yang paling layak buat masa ini memegang jawatan utama dalam skuad kebangsaan ini.

"Terpulang kepada Tan Cheng Hoe siapa yang dia pilih untuk menjadi pembantunya. Kita tidak patut ganggu dan beri kebebasan kepada dia.

"Saya akan memberi sokongan penuh kepadanya," jelas Tunku Ismail selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-3 di Wisma FAM pada Sabtu.


Jelas Tunku Ismail, tiada kontrak baharu untuk Cheng Hoe memandangkan bekas pembantu Nelo Vingada itu masih mempunyai baki kontrak dua tahun sejak dilantik (pembantu jurulatih)  pada April lalu.

"Berdasarkan situasi sekarang dia adalah individu yang paling sesuai. Saya harap dia melakukan yang terbaik.

"Kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi. Tetapi sasaran utama adalah 'winning mentality'. Kita juga perlu menukar pemikiran bahawa mewakili negara bukan satu beban.

"Cuba perbaiki apa sahaja kelemahan yang ada. Buat masa sekarang pelabgai masalah dalaman dan saya tidak mahu jelaskan lebih lagi setakat ini.

"Dan selepas itu kita akan lihat apa yang boleh dilakukan pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu Tunku Ismail turut mendedahkan masalah utama bola sepak negara adalah program pembangunan akar umbi.

"Apabila kita mengkaji semua masalah yang timbul adalah berpunca daripada pendidikan, pembangunan, hal-hal asas. Apa sahaja yang timbul hari ini adalah berpunca daripada itu.

"Inilah yang perlu kami fokus dan perbaiki," jelas Tunku Ismail.

Selain itu, Tunku Ismail turut menjelaskan beberapa keputusan yang telah dibuat ketika mesyuarat berlangsung.

"Antaranya inisiatif-inisiatif yang akan dilakukan pada tahun depan dan memperkemaskan sruktur bagi kejohanan Liga 4 dan 5 yang akan diadakan.

"Turut dibincangkan perancangan untuk memperbaiki pasukan kebangsaan, program akar umbi, peranan dan pemikiran pemain muda, pemain senior dalam skuad kebangsaan.

"Semua pihak dan pasukan serta kelab memainkan peranan utama dalam memastikan agenda sama dengan kita bagi memperbaiki kelemahan bola sepak tanah air," ujarnya.

Untuk rekod, Cheng Hoe dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Khamis lalu menggantikan Nelo Vingada yang meletak jawatan selepas tujuh bulan membimbing skuad kebangsaan,

Tunku Ismail, FAM

Artikel Sebelum

Silva Sedia Ke Old Trafford

Artikel Berikut

Artikel Lain