suria

Nelo Vingada Letak Jawatan

PETALING JAYA: Jodoh pengendali kelahiran Portugal, Nelo Vingada bersama skuad Harimau Malaya hanya mampu bertahan selama tujuh bulan apabila beliau meletak jawatan selaku ketua jurulatih kebangsaan berkuatkuasa serta-merta.

Jelas Vingada, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismai Sultan Ibrahim dan bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang telah berlaku itu, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.

“Malah Tunku Presiden sendiri turut telah menerima keputusan yang saya buat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Vingada berkata dua pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa turut bersama melepaskan jawatan mereka selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

“Akhir kata pada kesempatan ini, saya berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini.

“Saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia biarpun dalam tempoh masa yang agak singkat ini,” katanya.

Vingada dilantik sebagai ketua jurulatih dan diberi kepercayaan untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Malaysia pada 15 Mei lalu.

Namun, beliau terus didesak  supaya meletak jawatan susulan prestasi buruk skuad kendaliannya.

Dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara bulan lalu menyaksikan skuad kebangsaan dimalukan  1-4 dalam kedua-dua perlawanan berkenaan di Buriram, Thailand.

Malah dalam lima perlawanan terdahulu kendalian Vingada, skuad kebangsaan terus kemarau kemenangan selain tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober lalu.

Sebelum itu, Vingada yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee turut menyaksikan anak buahnya kalah 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong pada aksi kelayakan Kumpulan B dan kalah 1-2 menentang Syria dan 0-1 kepada Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Harimau Malaya, Nelo Vingada

Artikel Sebelum

Tiga Muka Baharu Perkuat TRW

Artikel Berikut

Artikel Lain