suria

Felda United Dakwa Bakal Dibuang Ke Liga Perdana

PETALING JAYA: Felda United mendakwa skuad itu bakal diturunkan ke Liga Perdana selepas mereka tidak diberikan lesen kerana sebab-sebab pelik.

Menurut sumber dalaman Felda United, pasukan berkenaan sebelum ini telah memenuhi apa sahaja syarat untuk melayakkan mereka mendapatkan Lesen Kelab dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun kehadiran mereka di Liga Super tidak menyenangkan pihak tertentu sehingga alasan pelik diberikan untuk memastikan tiada aksi Felda United di Liga Super musim depan.

"Julai lalu kami sudah menghantar semua dokumen yang disyaratkan. Keputusan selepas itu gagal dan perlu membuat rayuan kerana tidak lengkap berkaitan dengan audit.

"Kami membuat rayuan dan menghantar kembali laporan audit yang lengkap pada tarikh yang ditetapkan.

"Mereka kembalikan kepada kami kerana tidak ada pengesahan audit kepada kami, dan pada tarikh yang sama juga kami hantar balik selepas mendapat pengesahan.

"Alasan mereka kami terlewat hantar adalah sangat tidak munasabah kerana secara keseluruhannya kami sudah memenuhi 99 peratus syarat-syarat untuk mendapatkan lesen," ujar sumber tersebut kepada mStar Online.

Jelasnya, ia dianggap satu penganiayaan kepada Felda United yang telah membuktikan kemampuan mereka dengan memberikan saingan terbaik pada musim ini.

"Apa yang tidak cukup dengan Felda United? Kami ada akademi sendiri, kami tidak ada isu gaji jika dibandingkan dengan persatuan negeri yang lain.

"Memang kami tidak berpuas hati. Alasan agak pelik! Kami menunggu penuh harapan untuk mendengar keputusan positif, tetapi sebaliknya yang diterima," katanya.

Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai kedudukan Felda United di Liga Super akan diumumkan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Bola Sepak Malaysia (FMLLP) pada pukul 2 petang Isnin.

Sebelum ini, skuad bimbingan B.Sathianathan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga, namun  terpaksa menunggu 'budi bicara' FMLLP supaya mereka tidak jatuh ke Liga Perdana.

Felda United, FAM, FMLLP

Artikel Sebelum

Indra Putra Dedah Pasukan Baharu

Artikel Berikut

Artikel Lain