suria

Selangor Ikat Lapan Pemain Piala Presiden

KUALA LUMPUR: Juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor, mengikat lapan pemain Piala Presiden dan dua pemain muda daripada pasukan kebangsaan Indonesia, bagi memantapkan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) pada Sabtu mengesahkan bahawa, skuad Gergasi Merah telah menandatangani kontrak dengan kapten pasukan Bawah-23 tahun negara itu yang meraih pingat gangsa Sukan SEA, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

Kedua-dua pemain itu sebelum ini bermain untuk kelab Bhayangkara FC yang meraih gelaran sulung Liga 1 Indonesia pada musim ini.

Subahan berkata Selangor turut membawa masuk penyerang muda berusia 21 tahun dari Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj, selain melanjutkan kontrak penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia, 32, untuk memperkuatkan jentera serangan.

“Kita memang nak pamerkan ramai pemain muda, khususnya daripada pasukan Piala Presiden yang muncul juara tahun ini dan Selangor tidak pernah ketandusan bakat muda. Kita pun sedia maklum bahawa banyak bakat dari Selangor dieksport ke negeri-negeri lain, maka kami percaya kepada bakat muda dan bergantung kepada ketua jurulatih (P. Maniam) untuk membentuk mereka.

“Saya yakin langkah ini dapat memantapkan pasukan kebangsaan kerana jika mereka diberi peluang dan pendedahan, mereka mampu beraksi untuk pasukan kebangsaan nanti. Evan dan Ilham pula merupakan pemain B-23 Indonesia, tetapi mereka sudah pun beraksi untuk pasukan kebangsaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge ke-13 di Kelab Diraja Selangor (RSC), Bukit Kiara di sini, Sabtu. - Bernama


skuad Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain