suria

Hanya Dua Perseorangan Yang Layak!

Joo Ven (kiri) dan Wei Feng (kanan) mara ke mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Korea Masters.

KUALA LUMPUR: Hanya dua pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven dan Chong Wei Feng mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Korea Masters yang berlangsung di Yeomju Gymnasium, Selasa.

Soong menundukkan Milan Ludik dari Republik Czech, 21-13, 21-18 dalam masa 35 minit manakala pemain profesional, Chong pula terpaksa mengharungi pertarungan sengit sebelum menewaskan Kim Yong Hyun dari Korea Selatan, 15-21, 21-14, 21-13 pada perlawanan pusingan pertama pada Selasa.

Pada perlawanan seterusnya, Soong akan bertemu wakil tuan rumah, Ko Gyung Bo manakala Chong dijadual menentang Zhou Zeqi dari China.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin, bagaimanapun ditunjukkan jalan keluar oleh Lin Chia Hsuan dari Taiwan apabila tumpas ‘rubber-set' 17-21, 21-10 dan 18-21 diikuti kekalahan Adam Lau Yu Ming kepada pemain Indonesia, Firman Abdul Kholik 16-21, 17-21.

Turut mengalami nasib sama adalah pemain profesional, Liew Darren yang tumpas 9-21, 18-21 kepada pemain tuan rumah Lee Dong Keun, manakala Tan Jia Wei tewas kepada seorang lagi wakil Korea Selatan, Jong Soo Hwang 16-21, 17-21.

Seorang lagi wakil negara, Alfred Lau Yu Leong pula kalah kepada pemain China, Ren Pengbo 12-21, 14-21. - Bernama

Artikel Sebelum

Sam Allardyce Pilihan Everton

Artikel Berikut

Conte Suka Tekanan

Artikel Lain