suria

FAP Kesal Tindakan Gary Nair

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menempelak kenyataan bekas Naib Presidennya, Datuk Gary Nair berhubung peletakan jawatannya sebagai pemangku Presiden FAP.

Pemegang Amanah FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail dalam satu kenyataan pada Rabu menjelaskan FAP tidak pernah membuat sebarang lantikan terhadap mana-mana Ahli Majlis untuk menjadi pemangku presiden.

Malah, katanya lantikan itu tidak wujud dalam perlembagaan persatuan.

Namun begitu, Abdul Rashid berkata Majlis FAP dalam mesyuaratnya yang lalu bersetuju memberi kuasa kepada beliau selaku Pemegang Amanah persatuan itu untuk menjalankan tugas-tugas Presiden.

“Persatuan ini juga tidak faham mengapa (Datuk) Gary perlu menghubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan perletakan jawatan beliau kerana ianya tidak perlu dilakukan sedemikian,” katanya.

Jelas Abdul Rashid, Gary sepatutnya berusaha menyelesaikan masalah yang melanda FAP dan bukannya melarikan diri daripada tanggungjawabnya sebagai naib presiden.

“Sebagai seorang naib presiden dan antara individu yang paling lama dalam persatuan ini, beliau sepatutnya berusaha bersama sama seorang lagi Naib Presiden, Azizudin Shariff dan kesemua Ahli Majlis yang lain untuk menyelesaikan masalah masalah yang dialami persatuan ini daripada lari meninggalkan tanggungjawabnya,” katanya.

Pada Isnin lalu, Gary ketika dihubungi mStar Online mengesahkan telah membuat keputusan untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut kerana tidak ada pilihan lain selepas buntu dengan kemelut melanda FAP.

“Apa nak buat lagi? Duit 'tak dak'. Hutang pula hampir RM4 juta. Takkan saya mahu memikul masalah ini seorang diri?.

"Tindakan presiden sebelum ini meletak jawatan secara tiba-tiba membuatkan kami buntu. Saya memikul tugas beliau dan tidak ada apa yang boleh saya buat.

"Semua orang tanya saya macam mana dengan pasukan...tidak lama lagi dah nak masuk musim baharu? Saya mahu jawab apa?," ujarnya.

Sementara itu, mengenai persiapan FAP dalam menghadapi Liga Malaysia 2018, Abdul Rashid berkata persatuan itu telahpun menyiapkan dan menghantar kertas kerja kepada pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, maklum balas yang diterima setakat ini adalah positif.

Pada masa sama, beliau berkata FAP akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selewatnya pada 31 Disember ini.

“Saya selaku pemegang amanah akan pastikan segalanya berjalan dengan lancar dan mengikut perlembagaan,” katanya. 

Pulau Piang, Gary Nair, FAP

Artikel Sebelum

Lupakan Saja Arsenal!

Artikel Berikut

Eden Hazard Berlatih Lawan Musuh

Artikel Lain