suria

PKNS FC Bakal Uji Pemain Import Baharu

Barisan pemain PKNS FC musim 2017.

PETALING JAYA: Pasukan Liga Super,  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) akan menguji beberapa pemain import dalam enam aksi persahabatan pramusim, bulan depan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Pengurus kelab PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid memaklumkan ketua jurulatih baharu Datuk K. Rajagobal akan menilai beberapa pemain import dari benua Amerika Latin, Asia dan ASEAN dalam aksi persahabatan tersebut yang melibatkan beberapa pasukan sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata khidmat empat pemain import skuad Semut Merah pada musim ini tidak dilanjutkan bagi memberi peluang kepada Rajagobal untuk mengatur strategi baharu bagi menghadapi Liga-M 2018.

"Kita akan menguji pemain import yang kita rasa bersesuaian dengan kehendak ketua jurulatih namun saya pasti beliau sudah menetapkan kriteria yang diperlukan untuk pasukan ini."Kita akan meneliti penggunaan lima pemain import yang diperkenalkan FMLLP (Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) pada saingan Liga-M 2018 dan kita akan memilih pemain mengikut kuota yang telah tetapkan," katanya.

Mahfizul Rusydin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Karnival Bola Sepak Akademi PKNS FC di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, di sini, pada Ahad.

Sebagai rekod, PKNS FC menggunakan khidmat empat pemain import pada musim ini iaitu Park Kwang-il dari Korea Selatan, Patrick Ronaldinho Wleh (Liberia), Abdou Jammeh (Gambia) dan Fabio Miguel Lourenco Ferreira dari Portugal.

Sehingga kini, PKNS FC dilaporkan sudah mendapatkan khidmat bekas penyerang Pulau Pinang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, bekas pemain Pahang, Nurridzuan Abu Hassan selain bekas pertahanan Kelantan, Mohd  Qayyum Marjoni Sabil bagi menghadapi saingan Liga-M 2018.

Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar memaklumkan, karnival bola sepak selama dua hari itu berjaya menarik penyertaan pemain berusia antara lapan dan 16 tahun daripada 80 pasukan yang mewakili 26 buah kelab.

Beliau, yang juga Presiden PKNS FC, berkata program tahunan berkenaan yang dianjurkan oleh Akademi PKNS FC merupakan antara tanggungjawab mereka dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak.

"Selepas berakhirnya karnival ini, saya melihat terdapat beberapa pemain yang sudah dikenal pasti untuk kita gilap dan kita akan melihat lebih dekat potensi yang dimiliki mereka untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya," katanya.- Bernama

PKNS FC

Artikel Sebelum

Bale Mahu Beyonce

Artikel Berikut

Artikel Lain