suria

MOM Terima Tambahan Kuota Atlet Ke Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima tambahan kuota sebanyak 98 penyertaan atlet dalam acara individu untuk beraksi di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia tahun depan.

Setiausaha Kehormat MOM Datuk Low Beng Choo berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan pada 8 dan 9 Disember ini bagi membincangkan senarai atlet yang akan dipilih untuk beraksi di Sukan Komanwel itu nanti.

”Kami jangka menerusi mesyuarat itu  MOM akan memuktamadkan sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus atlet yang akan mengambil bahagian di Sukan Komanwel.

“Jumlah ini tidak termasuk sukan yang telah layak beraksi secara merit di Sukan Komanwel bagi acara berpasukan. Senarai 98 penyertaan itu juga tidak merangkumi atlet paralimpik,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Wisma MOM, pada Ahad.

Low menjelaskan pemilihan atlet untuk mengisi kuota tersebut perlu berdasarkan pencapaian yang setanding di peringkat Sukan Komanwel bukan sekadar cemerlang di peringkat Asia Tenggara semata-mata.

“Untuk memenuhi jumlah kuota ini bukan susah, apa yang mustahak ialah kriteria untuk membuat pemilihan. (Cara pemilihan) tidak semestinya menang pingat emas Sukan SEA akan layak ke Sukan Komawel. Pencapaian atlet perlu setanding di peringkat Komanwel,” katanya.

Presiden MOM  Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar semalam dilaporkan berkata buat julung kalinya kontinjen Malaysia menghantar bilangan acara berpasukan yang ramai iaitu hoki lelaki dan wanita, ragbi dan bola keranjang wanita yang telah layak secara merit beraksi ke Sukan Komanwel.Sukan Komanwel akan berlangsung  4 hingga 15 April tahun depan.

Untuk rekod Malaysia menduduki tangga ke-12 keseluruhan dengan kutipan enam pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.- Bernama

Sukan Komanwel 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain