suria

Hanya Satu Hala Tuju Kedah - TCH

"PEMAIN Kedah hanya ada satu hala tuju sahaja dalam saingan Piala FA iaitu ke perlawanan akhir, mereka perlu tahu apa yang diperlukan."

Itu komen Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu di Stadium Darul Aman pada Ahad.

Skuad hijau kuning yang kalah dua kali dan seri dalam tiga perlawanan sebelum ini mampu ke final jika mengembalikan momentum kemenangan sebagai bekalan sebelum beraksi dalam perlawanan kedua di tempat lawan.

Menurut Cheng Hoe, prestasi pemain Kedah semakin pulih jika dilihat dalam perlawanan terakhir menentang Perak baru-baru ini.

Oleh itu, beliau yakin Kedah mampu mendapat bekalan atau selangkah ke final dalam perlawanan itu nanti.

"Dengan adanya sorakan dan sokongan lebih 25,000 penyokong setia kita di Stadium Darul Aman nanti ia mampu meningkatkan moral dan semangat pemain kita untuk berjuang selama 90 minit permainan.

"Inilah peluang terbaik barisan pemain Kedah untuk kembali mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri selain mengubati kekecewaan mereka dalam tiga perlawanan sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, walaupun Terengganu beraksi dalam saingan Liga Premier pada musim ini namun  mereka telah membuktikan kemempuan dengan layak ke separuh akhir.

Berikutan itu, pemain Kedah diingatkan supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan dan sentiasa berusaha mendapatkan gol awal.

Selain itu kehadiran Liridon Krasniqi sebagai perancang kepada skuad Kedah berjaya menyusun semula pergerakan di atas padang dan mencipta peluang.

Kedah, Liga Super, Piala FA, Terengganu

Artikel Berikut

Artikel Lain