suria

Pertemuan Antara Dua Gergasi: Man Utd Lwn Man City Jam 3 Pagi Nanti

Gambar fail Pep Guardiola (kiri) bersama Jose Mourinho ketika Manchester United menentang Manchester City dalam saingan Piala Liga Inggeris, di Old Trafford, Oktober 2016.

MANCHESTER UNITED akan melonjak naik ke tangga keempat liga buat pertama kalinya musim ini jika mereka mampu menundukkan lawan sekampung, Manchester City dalam pertembungan antara dua gergasi yang bakal disaksikan secara langsung pada pukul 3 pagi nanti waktu tempatan.

Sejak empat bulan yang lalu, United tidak berganjak dari kedudukan tangga kelima dan keenam tetapi berpeluang berada dalam kelompok empat teratas dengan syarat mereka menang ke atas City.

United kini hanya berada satu mata di belakang City.

Mereka tewas 1-2 kepada City dalam perlawanan pertama September lalu di Old Trafford tetapi prestasi terkini menunjukkan Jose Mourinho berada sedikit di hadapan Pep Guardiola dengan mengharungi 23 perlawanan tanpa kalah.

Jika menang dalam perlawanan menentang City, United akan menyamai rekod perlawanan tanpa kalah sebanyak 24 perlawanan sepertimana yang berjaya dilakukan oleh pasukan musim 2010-11 yang menyaksikan mereka muncul sebagai juara liga.

Kekalahan terbaru City adalah hujung minggu lalu di tangan Arsenal pada perlawanan separuh akhir kejohanan Piala FA Inggeris.

Kekalahan itu juga menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah karier Guardiola sebagai pengurus beliau akan mengakhiri musim tanpa sebarang piala.

City sudah pun tersingkir dalam saingan Piala Juara-Juara Eropah, saingan liga dan juga sebarang piala dalam kejohanan tempatan.

Sedangkan Mourinho sudah pun menjulang Piala Sumbangsih iaitu kejohanan pembuka tirai musim baru dan terbaru ialah Piala Carling/Liga Inggeris bersama United dan masih lagi bersaing dalam saingan Piala Europa (kini di peringkat separuh akhir).

United juga telah menundukkan pendahulu liga Chelsea 2-0 baru-baru ini.

Dari sudut saikologi ini semua memberi sedikit kelebihan kepada Mourinho. Satu-satunya masalah yang membelenggu Mourinho dan United sekarang ialah jumlah kecederaan yang dialami oleh para pemain mereka.

Tonggak barisan pertahanan mereka Marcos Rojo dan penyerang sensasi Zlatan Ibrahimovic yang telah menjaringkan 28 gol dalam semua pertandingan tidak akan beraksi lagi untuk apa jua baki perlawanan musim ini.

Tidak cukup dengan itu, dua lagi pemain pertahanan United, Chris Smalling dan Phil Jones juga tidak seratus peratus cergas akibat kecederaan lama.

Mereka juga terlebih dahulu kehilangan servis pemain Sepanyol Juan Mata dan yang terbaru ialah perancangan barisan tengah Paul Pogba.

Namun dari sudut positif, ketiadaan Ibra telah membuka ruang kepada penyerang muda Marcus Rashford untuk maju dan muncul sebagai penyerang sensasi. Dia telah menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan terakhirnya untuk United.

Kelebihan City dalam pertembungan kali ini ialah mereka bermain di gelanggang sendiri dengan sokongan padu majoriti penonton.

Guardiola mengharapkan dua tonggak utamanya iaitu David Silva dan Sergio Aguero cergas seratus peratus selepas mereka menunjukkan tanda-tanda keletihan dan kekejangan pada otot kaki dalam perlawanan menentang Arsenal.

Sepertimana United, City juga turut dibelenggu dengan masalah kecederaan yang berpanjang termasuklah pemain antarabangsa England, John Stone, Bacary Sagna dan Fernandinho. Gabriel Jesus yang baru pulih dari kecederaan pada ibu jari juga masih belum cergas sepenuhnya.

Dan sekali lagi, sepertimana United, City turut mendambakan sekurang-kurangnya tempat keempat liga bagi membolehkan mereka layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Moga pasukan yang terbaik menang malam ini...


Artikel Lain