suria

Mourinho Tak Berhasrat 'Atasi' Guardiola Sekali Lagi

Jose MOurinho

JOSE Mourinho sekali lagi mahu mengakhiri musim di atas Pep Guardiola, kerana hanya dengan cara itu harapan Manchester United untuk beraksi di Liga Juara-Juara menjadi lebih cerah.

Pengurus United itu menegaskan bahawa dia bagaimanapun bukan didorong dengan prospek untuk menamatkan musim di atas Manchester City atau rakan jurulatihnya, Pep Guardiola.

Mourinho, 54, menjadi satu-satunya jurulatih yang berjaya mengakhiri musim dalam saingan La Liga di atas Guardiola, sepanjang dia bergelar jurulatih.

Mourinho yang ketika itu mengendalikan Real Madrid berjaya mengalahkan Barcelona yang diuruskan oleh Guardiola untuk menang gelaran La Liga pada tahun 2012.

United kini hanya ketinggalan satu mata dengan City yang berada di posisi keempat carta Liga Perdana Inggeris, berbaki enam perlawanan.

Jika City kalah dengan United dalam perlawanan derby awal pagi Jumaat, pasukan ini akan jatuh ke posisi kelima dan ketinggalan dua mata di belakang United.

Mourinho bagaimanapun mendakwa menamatkan musim di atas City tidak akan memberi sebarang makna jika United tidak mampu menempatkan diri dalam empat kelompok teratas.

"Ini tak memberi sebarang makna," katanya pada sidang akhbar.

"Jika kami menamatkan musim di tempat kelima dan mereka (City) di tempat keenam, kami di atas mereka, ia tak memberi sebarang makna.

"Tetapi jika mereka mengakhiri musim di tempat ketiga dan kami menduduki tempat keempat, mereka berada di atas kami, ia tetap memberi makna yang besar buat kami.

"Ini bukan soal Pep, juga bukan soal City, ini soal matlamat. Kami mahu cuba bermain di Liga Juara-Juara dan kami masih mempunyai dua pintu yang terbuka (liga dan Liga Europa)."

United sedang berdepan krisis kecederaan menjelang kunjungan mereka ke Stadium Etihad, dengan Mourinho pada Rabu mengesahkan bahawa Paul Pogba tidak cukup sihat untuk diturunkan.

Zlatan Ibrahimovic, Marcos Rojo, Chris Smalling, Phil Jones dan Juan Mata juga tidak dapat bermain, menyebabkan mereka kekurangan pemain bintang untuk bertemu City.

Jose Mourinho, Pep Guardiola, derby

Artikel Berikut

Dortmund Ke Final DFB Pokal

Artikel Lain