suria

Gantung: Sazali Kemuka Rayuan Kedua

PETALING JAYA: Juara 10 kali Mr Universe,  Sazali Samad tidak berputus asa untuk terus mengemukakan rayuan terhadap hukuman penggantungannya selama empat tahun walaupun telah ditolak pada permohonan pertama.

Sazali,48,  digantung oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) akibat gagal ujian doping sejak September tahun lalu dan rayuan pertamanya pada 9 Januari ditolak badan induk bina badan negara ini.

Menurutnya, ia merupkan kesalahan pertamanya sepanjang bergelar atlet negara, malah mengakui ia berlaku kerana dirinya cuai dan tanpa niat mengambil bahan terlarang.

"Saya mengemukakan rayuan kerana masih bersemangat untuk kembali mengharumkan nama negara tercinta.

"Rayuan ini mengambil kira fakta kes melibatkan kejadian diluar pertandingan oleh atlet angkat berat iaitu Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan yang telah dijatuhkan hukuman dua tahun oleh jawatakuasa persatuan mereka atas kesalahan ujian doping.

"Sepanjang tempoh penggantungan sehingga hari ini saya telah menghormati, berdisiplin dan tidak melakukan apa-apa perkara bertentangan dalam tempoh hukuman seperti yang ditetap oleh Agensi Anti Doping Dunia (Wada)," jelasnya selepas menyerahkan surat rayuan kepada Setiausaha Eksekutif PBBM, Riduan Anan di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, Selasa.

Sazali turut ditemani peguam, Mohd Norasmawi Norani serta pengurusnya, Hashrine Hashim.

Tambah Sazali, dia tidak akan berhenti untuk membuat rayuan walaupun pernah ditolak sebelum ini.

"Saya lebih positif untuk menerima keputusan yang lebih baik pada permohonan rayuan kedua ini. 

"Malah tindakan saya untuk merayu membuat pengurangan ini turut disokong oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan beberapa orang lain.

"Pengakuan bersalah telah menjimatkan masa serta kos pendengaran dengan penerimaan terhadap keputusan penggantungan oleh Jawatankuasa Disiplin (Tatertib & Anti-Doping) PBBM," ujarnya.

Sazali berharap hukumannya itu dapat dikurangkan daripada empat tahun kepada satu atau dua tahun kerana ianya adalah kesalahan di luar gelanggang.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya keputusan rayuan kedua ini tetap ditolak, dia bercadang untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Apapun saya masih mengharapkan keputusan positif pada rayuan kedua ini terlebih dahulu," tambahnya.

Sebagai rekod, Sazali digantung selama empat tahun oleh PBBM selepas didapati gagal ujian doping yang dilakukan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

Hukuman itu berkuat kuasa pada 22 September 2015, iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan.









Sazali Samad, surat rayuan

Artikel Sebelum

Puskas: TMJ Hargai Faiz Subri

Artikel Berikut

Artikel Lain