suria

Alonso Disebut Ganti Rosberg

Alonso (kanan) bersama Rosberg pada Grand Prix F1 Jepun di Litar Suzuka pada Oktober lalu.

PENGARAH Eksekutif baharu McLaren, Zak Brown memberitahu pasukannya tidak perlu bimbang terhadap kemungkinan Fernando Alonso berpindah ke Mercedes bagi menggantikan Nico Rosberg.

"Kami mempunyai kontrak bersama Fernando dan dia sangat gembira di sini.

"Sangat jelas dia mahu memenangi perlumbaan, sama juga seperti kami, tetapi saya tidak bimbang dengan senario itu (berpindah). Kami sangat selesa dengan keadaan sekarang," jelasnya kepada Sky Sports..

McLaren masih berdepan dengan  kemarau trofi kejuaraan dunia sejak 2012 dan kini mereka dalam usaha meningkatkan prestasi selepas bekerjasama dengan Honda tahun lalu.

Jentera McLaren menamatkan saingan keseluruhan musim ini di kedudukan keenam berbanding sembilan daripada 10 pasukan tahun lalu.

Sementara itu, Alonso merupakan juara dunia dua kali ketika memandu jentera Renault sebelum menyertai McLaren pada 2014.

Dia masih gagal meraih kejuaraan dunia setakat ini dan bakal bergandingan dengan pelumba rookie dari Belgium,   Stoffel Vandoorne musim depan.

Minggu lalu, Ketua Formula Satu, Bernie Ecclestone memberitahu kepada Reuters bahawa  Alonso adalah pilihan tepat untuk bergandingan dengan juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton bagi menggantikan posisi Rosberg di Mercedes.

Rosberg mengumumkan persaraan dari dunia perlumbaan F1 Jumaat lalu selepas lima hari dinobatkan sebagai juara dunia 2016 pada pusingan akhir di Abu Dhabi.
Fernando Alonso, F1, Nico Rosberg

Artikel Sebelum

CAS Tolak Rayuan Blatter

Artikel Berikut

Keputusan Serie A

Artikel Lain