suria

Malaysia Sasar Juara Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean

Ketua Jabatan Pemasaran FAM Sayf Che Ismail (belakang, sembilan kanan) dan Presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia, Kamarzaman Harun bergambar bersama pemain bola sepak Malaysia pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia di Pusat Belia Antarabangsa pada Ahad. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak orang pekak kebangsaan meletakkan sasaran untuk muncul juara pada edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean, bermula Isnin.

Jurulatih pasukan negara, Manachai Sitthisarn yakin pasukan kendaliannya mampu menyaingi enam lagi pasukan yang bertanding iaitu Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

"Saya mahu membawa Malaysia menjadi juara untuk edisi sulung ini. Saya yakin anak buah saya boleh mencapai kemenangan.

"Saya rasa saingan terdekat untuk pasukan negara ialah Thailand yang dilihat agak mantap di semua posisi," katanya.

Beliau berkata demikian melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Kamarzaman Harun.

Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, Akash Nathani berkata walaupun tempoh persiapan yang singkat serta tiada peruntukan sepenuhnya daripada kerajaan, beliau percaya pasukan kendaliannya mampu memberi saingan pada kejohanan tersebut.

"Kita hanya mempunyai sebulan persiapan dan kita menerima peruntukan yang kurang daripada kerajaan, maka pemain terpaksa menggunakan wang sendiri untuk datang ke sini.

"Ini kali pertama kejohanan bola sepak bagi orang pekak di Asean, jadi agaksukar untuk menentukan pasukan mana yang kuat, tetapi kami akan menampilkan yang terbaik untuk menjuarai kejohanan ini," katanya.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar, manakala Kumpulan A terdiri daripada pasukan Laos, Thailand, Kemboja dan Indonesia.

Kejohanan berkenaan akan berlangsung dari 4 hingga 10 Disember di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain