suria

JDT Hantar Pemain Muda Ke Sepanyol, Portugal

Alistair Edwards.

PETALING JAYA: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menghantar barisan pemain mudanya ke Sepanyol dan Portugal selepas skuad utama pasukan itu tidak dapat memenuhi jemputan tersebut.

Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards mengesahkan beliau akan ditemani beberapa jurulatih, kakitangan pengurusan dan skuad pemain muda sebagai mewakili kelab untuk memenuhi jemputan berkenaan.

"Saya bersama beberapa jurulatih, kakitangan-kakitangan pengurusan dan pemain pemain muda telah diwakilkan untuk ke Sepanyol dan Portugal selepas pasukan utama tidak dapat menghadapi perlawanan yang kompetitif di sana.

"Keputusan itu dibuat atas faktor kesuntukan masa dan bertindih dengan musim perayaan Krismas di mana kelab-kelab Eropah sedang bercuti.

"Kami akan ke sana untuk tugasan menjalin kerjasama dan hubungan erat antara kelab," katanya menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Terdahulu, Pengendali JDT Mario Gomez mengumumkan skuad Harimau Selatan itu terpaksa melupakan hasrat ke Sepanyol dan Portugal bagi persiapan pra musim menjelang saingan Liga Super musim depan.

Gomez berkata, dia sebaliknya memilih Thailand untuk melakukan persiapan kerana negara jiran itu dilihat lebih relevan memandangkan jadual pasukan yang padat.

"Saya lebih suka mempersiapkan pasukan ke Thailand kerana ia dekat selepas kami menerima jemputan kelab Buriram dan Chonburri FC tanpa kos.

"Saya juga telah memaklumkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai jemputan untuk bermain di Sepanyol dan Benfica untuk perlawanan pra-musim.

"Masalahnya adalah masa. Ia tidak sesuai dan ia tidak seiring dengan jadual yang telah saya rancangkan untuk pasukan," kata Gomez.





JDT, Harimau Selatan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain