suria

Ayuh Undi Faiz, Tiga Gol Terbaik Umum Malam Ini

PETALING JAYA: Debaran semakin dirasai oleh rakyat Malaysia apabila dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi keputusan tiga gol tercantik yang akan mara ke pusingan kedua diumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), lewat Jumaat.

Justeru, peminat bola sepak tanah air masih mempunyai masa untuk mengundi gol cantik jaringan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang turut mengharapkan undian tersebut dapat membantu dalam pemburuan Anugerah Puskas Fifa 2016.

Pada Khamis, Fifa memuatnaik artikel mengenai gol cantik pemain berusia 29 itu bertajuk Subri’s physics-defying free-kick di laman sesawang rasminya.

Artikel itu menceritakan bagaimana video gol cantik tersebut menjadi viral di seluruh dunia.

Malah, gol tersebut yang dijaringkan pada Februari lalu dianggap bukan hanya menafikan logik bahkan hukum fizik.

Lebih menarik, jaringan itu turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menulis di Twitternya bahawa berita mengenai sepakan percuma yang 'menakjubkan' dan 'benar-benar hebat' berkenaan sudah sampai ke benua Amerika.

Tidak setakat itu, gol jaringan Faiz Subri mendapat penghormatan daripada pemain legenda dunia termasuk Gabriel Batistuta, Marta dan Marco van Basten yang memilih jaringan tersebut untuk disenaraikan sebagai 10 pencalonan untuk Anugerah Puskas FIFA 2016 seperti diumumkan pada 21 November lalu.

Artikel itu turut menggesa orang ramai supaya mengundi gol Mohd Faiz sekiranya berasakan ia bernilai untuk menerima anugerah Puskas.

"Jika anda merasakan jaringan Subri bernilai untuk Anugerah Puskas, masa sudah semakin suntuk untuk terus meletakkan dalam pemburuan (anugerah).

"Tarikh akhir untuk pusingan pertama undian berakhir pada Jumaat, dengan tiga gol terbaik yang ditentukan peminat akan memasuki pusingan kedua dan peringkat terakhir," kata artikel berkenaan.

Pemenang akan diumumkan pada majlis Anugerah Terbaik Fifa pada 9 Januari 2017.

Setakat ini video jaringan Mohd Faiz yang dimuatnaik FifaTV di laman Youtube mendapat 1,361,647 tontonan, mengatasi sembilan pencabarnya yang lain termasuk pemain terkemuka Barcelona, Lionel Messi dan Neymar.

Undian boleh dilakukan menerusi pautan http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award

Mohd Faiz Subri, gol cantik, Puskas

Artikel Sebelum

Teck Zhi Mara Ke Pusingan Kedua

Artikel Berikut

Artikel Lain