suria

"Top 3 Dianggap Rezeki, Bonus"- Faiz Subri

PETALING JAYA: Tempoh pengundian bagi jaringan tercantik Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 berbaki dua hari saja lagi, tetapi Mohd Faiz Subri masih sukar meramal nasib tendangan golnya.

Mohd Faiz berkata beliau sememangnya berharap agar golnya itu terpilih ke kelompok tiga terakhir, tetapi keputusan akhir hanya dapat ditentukan melalui jumlah undi tertinggi.

"Semua gol OK, semua cantik-cantik, kalau tak macam mana nak terpilih dalam Top 10, susah tu.

"Sekarang ni terserah kepada undianlah, yang mana dapat undi tinggi itu rezeki dialah (pemain)," kata Mohd Faiz ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Bagaimanapun, penyerang skuad Harimau Kumbang ini tetap berusaha untuk menaikkan undi dengan beberapa cara, termasuk berkempen.

Katanya, selain orang awam, seluruh ahli keluarganya juga telah dipastikan mengundi untuk anugerah tersebut, termasuk isterinya.

"Semalam saya berkempen di UUM (Universiti Utara Malaysia), harap-harap mereka dapatlah undi saya dan hari ni pun ada kawan-kawan yang berkempen.

"Satu keluarga saya pun dah undi, termasuklah isteri saya," katanya.

Katanya, sekiranya gol dari sepakan percuma knuckleball itu terpilih dalam tiga gol terbaik, beliau akan menganggapnya sebagai rezeki dan bonus.

"Kalau tercalon dalam 'Top 3' itu dikira bonus sebab tak pernah lagi mana-mana gol pasukan dari Asia yang pernah tersenarai.

"Kepada semua penyokong yang belum mengundi saya harap mereka boleh membantu saya meraih tempat di tiga kelompok akhir," katanya.

Gol Mohd Faiz tercalon bersama sembilan gol lain yang dijaringkan oleh pemain dunia, termasuk bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar.

Mohd Faiz melakukan jaringan itu menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika Pulau Pinang bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Februari lalu.

Gol itu berjaya mencuri perhatian dunia apabila sepakan lencongnya dikatakan ‘melanggar hukum fizik’.

Artikel Lain