suria

Chong Wei, V Shem/Wee Kiong Layak Beraksi Di Dubai

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong, secara merit layak bersaing dalam Siri Super Akhir bermula 14 hingga 18 Disember di Dubai.

Chong Wei menduduki ranking ketujuh manakala V Shem/Wee Kiong menduduki  tangga kedua dalam senarai terbaru Siri Super yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kejohanan penutup musim itu menyaksikan hanya lapan pemain terbaik akan mengambil bahagian berdasarkan kutipan mata daripada 12 kejohanan Siri Super sepanjang tahun ini.

Namun, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia BAM, Morten Frost Hansen berkata beliau belum mendapat pengesahan daripada Chong Wei sama ada pemain itu bersedia menyertai kejohanan itu atau sebaliknya.

"Kami tahu Chong Wei mengalami kecederaan hamstring sejak Oktober dan beliau tidak sihat minggu lepas," katanya kepada pemberita pada pelancaran Liga SS Purple 2016/2017 dekat sini.

Chong Wei yang menjuarai tiga daripada enam kejohanan Siri Super tahun ini - Terbuka Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jepun - mengumpul 43,510 mata manakala pemain Denmark, Jan Jorgensen menghuni tangga teratas apabila mengutip 65,440 mata.

Turut layak ialah Viktor Axelsen dari Denmark, Son Wan Ho (Korea Selatan), Tian Houwei (China), Ng Ka Long (Hong Kong) dan Marc Zwiebler (Jerman).

Perebutan gelaran juara kali ini lebih menarik apabila BWF memberikan slot wild card kepada bintang sensasi China, Chen Long bagi melengkapkan kuota lapan pemain disebabkan statusnya sebagai pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016.

Chong Wei pernah memenangi kejuaraan Siri Super Akhir pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

V Shem/Wee Kiong pula mengumpul 62,630 mata. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain