suria

Cabaran Beregu Campuran Negara Berakhir Awal

KUALA LUMPUR: Perjuangan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng/Lai Pei Jing dalam saingan badminton Siri Super Terbuka Hong Kong, berakhir pada pusingan pertama pada Selasa.

Peng Soon/Liu Ying yang turun sebagai pilihan keempat kejohanan mudah dijinakkan pasangan beregu daripada Korea Selatan, Yoo Yeon Seong/Chang Ye Na 12-21, 11-21 dalam pertarungan selama 37 minit.

Kekalahan tersebut merupakan kekalahan pertama Peng Soon/Liu Ying di tangan pasangan Korea Selatan itu selepas mencatatkan tiga  kemenangan berturut-turut pada pertemuan sebelum ini.

Dalam satu lagi perlawanan menyaksikan Kian Meng/Pei Jing terpaksa akur kepada pasangan Yugo Kobayashi/Misaki Matsutomo dari Jepun apabila tewas 16-21, 18-21 dalam aksi selama 34 minit.

Sementara itu, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi meneruskan perjuangan ke undian utama beregu lelaki bersama-sama Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Lim Khim Wah/Ong Jian Guo.

Yew Sin/Ee Yi yang menewaskan pasangan Indonesia Hantoro/Fernando Kurniawan 13-21, 21-11, 21-14 dan dijadualkan bertemu beregu pilihan kelima dari Denmark Mads Conrad-Petersen/Mads Pieler Kolding.

Sementara V Shem/Wee Kiong akan bertemu Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen juga dari Denmark manakala Kien Keat/Boon Heong menentang pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hwan/Yoo Yeon Seong dan gandingan Kim Wah/Jian Guo akan bertemu Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov dari Rusia.

Pemain perseorangan lelaki Chong Wei Feng yang akan bertemu pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan berjumpa pemain Korea Selatan Son Wan Ho dan Zulfadli Zulkifli akan menentang pemain tuan rumah, Angus Ng Ka Long, masing-masing akan memulakan saingan pusingan pertama pada Rabu.

Bagi beregu wanita pula, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean akan bertemu Bao Yixin/ Yu Xiohan dari China dan Vivian Hoo/Woon Khe Wei bertemu Natasha Herloardjo/ Rofahadah Supriadi Putri dari Indonesia. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain