suria

Piala AFF: Jurulatih Thailand Beri Amaran Kepada Pemain

Pasukan Thailand.

BANGKOK: Jurulatih Thailand Kiatisak Senamuang memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang mudah cabaran pada Piala AFF Suzuki 2016 dalam usahanya membimbing pasukan itu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Thailand, yang masih segar dengan pencapaian meraih mata pertama pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia peringkat Asia beberapa hari lepas, akan memulakan kempen pada kejohanan bola sepak serantau itu menentang Indonesia di Manila, Sabtu ini.

"Sasaran kita meraih gelaran tersebut, namun kita tidak boleh terlalu yakin. Kita perlu menampilkan segalanya pada setiap perlawanan. Kesemua pemain memiliki persefahaman baik dari segi taktik selepas menjalani latihan sejak dua minggu lepas," katanya kepada media tempatan sebelum berlepas ke Filipina, di sini.

Bekas penyerang Thailand berusia 43 tahun itu, berkata kejohanan itu memberi satu lagi peluang bagi beliau dan barisan pemain untuk menggembirakan rakyat Thailand yang sebelum ini, berduka atas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej yang dihormati dan dikasihi mereka.

Thailand dan Singapura adalah dua pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran kejohanan berkenaan, dengan masing-masing merangkul kejuaraan tersebut sebanyak empat kali.

Bagi edisi kali ini, skuad bimbingan Kiatisak itu diundi bersama-sama Singapura, Indonesia dan tuan rumah Filipina dalam Kumpulan A, manakala Myanmar akan menjadi tuan rumah Kumpulan B yang menampilkan naib juara edisi 2014, Malaysia, Vietnam dan Kemboja.

Kiatisak berkata pada saingan tahun ini, skuad Thailand akan dibarisi adunan pemain lama dan baharu, dengan menyenaraikan beberapa pemain meningkat naik, dan pada masa sama mengekalkan pemain berpengalaman.

Beliau berkata pasukan itu akan menampilkan taktik digunakan sebelum ini, dengan membariskan empat pemain pertahanan yang ternyata berhasil apabila berjaya meraih satu mata semasa bertemu Australia pada pusingan kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

"Berdepan pasukan dari Asia Tenggara, kita akan turun dengan corak permainan 4-2-3-1 atau 4-3-3, yang sememangnya kita sering gunakan sebelum ini. Kita akan lebih berkesan semasa menyerang dan bertahan," katanya. -Bernama

Thailand, Kiatisak Senamuang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain