suria

KBS Tiada Perancangan Selaras Insentif Olimpik Ke Komanwel

M. Saravanan

KUALA LUMPUR:  Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai perancangan untuk menyelaras insentif diterima atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik dengan Sukan Komanwel.

Timbalan menterinya, Datuk M. Saravanan berkata ini mengambil kira aspek perbezaan kedua-dua temasya itu dari segi kelayakan dan jumlah negara yang bertanding.

Beliau berkata bilangan negara yang menyertai Sukan Komanwel adalah kira-kira 70 buah negara manakala temasya Olimpik melibatkan lebih daripada200 buah negara.

"Selain itu, penyertaan ke Sukan Komanwel tidak memerlukan proses kelayakan seperti Olimpik," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat,Khamis.

Mengenai pencen yang layak diterima atlet Olimpik dan Paralimpik, Saravanan berkata ia akan terus diperoleh sebaik mereka bersara.

Katanya, ini kerana terdapat atlet yang terpaksa bersara awal akibat kecederaan dan tidak mampu lagi berkhidmat kepada negara. 

Mengulas isu penyelewengan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta melibatkan kementerian berkenaan, Saravanan menjelaskan beberapa tindakan penambahbaikan sudah diambil termasuk memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Katanya pengurusan kewangan Wang Amanah Sukan Negara juga dipertingkat dengan pelantikan seorang ketua akauntan sebagai ahli gabungan dalam jawatankuasa terbabit.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilapor menahan beberapa individu termasuk seorang setiausaha bahagian di KBS selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Susulan kes itu, Khairy mengumumkan penubuhan pasukan siasatan bebas untuk membuat semakan segera terhadap mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di KBS. -Bernama

Datuk M. Saravanan, KBS, Insentif

Artikel Sebelum

Keputusan Jelajah Dunia ATP

Artikel Berikut

Artikel Lain