suria

Piala AFF: Harimau Malaysia Sasar Separuh Akhir

Kim Swee ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media untuk memperkenalkan 22 pemain Harimau Malaysia, yang akan membawa cabaran negara pada perlawanan Piala AFF Suzuki 2017 pada Selasa. fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Pengurus pasukan Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin kekal dengan meletakkan sasaran untuk mara separuh akhir dalam kempen Piala AFF Suzuki yang bakal bermula 19 November ini di Yangon, Myanmar.

Jelas beliau, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee ini akan memberi fokus pada satu demi satu dalam saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu.

"Kita akan bermain satu demi satu perlawanan untuk bertemu Kemboja, Vietnam dan Myanmar.

"Apa yang paling penting kami mahu memastikan pasukan ini berjaya mengutip tiga mata penuh pada aksi pertama bertemu Kemboja nanti,"jelasnya pada sidang media selepas majlis minum petang bersama media, Selasa.

Bagaimanapun Hamidin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap mahu melihat skuad kebangsaan ini mampu melangkah kaki ke final.

"Sudah tentu, saya juga seperti peminat-peminat bola sepak yang mahu melihat pasukan kita bersaing di peringkat akhir.

"Saya berpendapatan dengan segala kepayahan yang dilalui pasukan sebelum ini (seperti kecederaan pemain), beberapa siri perlawanan persahabatan  serta kerja keras ketika latihan membuktikan pemain-pemain ada komitmen tinggi untuk berjaya.

"Secara peribadi, saya mengharapkan Safee Sali dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) akan menjadi senjata utama skuad kebangsaan di sana,"tambah beliau.

Sementara itu, Kim Swee turut mengumumkan tiga pemain yang digugurkan dalam senarai akhir pemain untuk aksi di Myanmar ini.

"Sukar untuk menamakan tiga pemain ini, tetapi peraturan telah meletakkan syarat bahawa hanya 23 pemain sahaja.

"Tetapi saya yakin Mohd Nasir Basharudin, Ahmad Khuzaimi Piee dan Muhammad Safawi Rasid akan menyertai pasukan kebangsaan lagi pada masa akan datang kerana umur mereka masih muda.

"Selain itu, saya juga yakin skuad kali ini merupakan yang terbaik pernah dibentuk setakat ini.

"Manakala sebelas pemain utama akan dipilih di Myanmar kerana saya masih lagi mempunyai lima hari sebelum bertemu Kemboja," jelas Kim Swee.

Skuad Harimau Malaysia bakal terbang ke Myanmar pada Rabu dan memulakan perlawanan pertama bagi saingan Kumpulan B bertemu Kemboja pasa 20 November diikuti Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar (26 November).

Senarai penuh skuad Harimau Malaysia:

SHAHRUL MOHD SAAD
NAZIRUL NAIM CHE HASHIM,
HAFIZUL HAKIM KHAIRUL NIZAM JOTHY
MOHD IRFAN FAZAIL
MOHAMAD ZAQUAN ADHA ABD RADZAK
DARREN LOK
MOHD AMRI YAHYAH
MOHAMAD FADHLI MOHD SHAH
MOHD SAFEE MOHD SALI
AHMAD FAKRI SAARANI
MUHAMMAD HADIN AZMAN
KHAIRUL FAHMI CHE MAT
RONNY HARUN
MATTHEW THOMAS DAVIES
NORSHAHRUL IDLAN TALAHA
BADDROL BAKHTIAR
MOHD RIZAL MOHD GHAZALI
MOHD SYAZWAN ZAINON
KHAIRUL HELMI JOHARI
MUHAMMAD SHAHROM ABDUL KALAM
MOHD KHAIRULAZHAN MOHD KHALID
AHMAD HAZWAN BAKRI
VEENOD A/L SUBRAMANIAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain