suria

Barisan Exco Mahu Annuar Terus Terajui Kafa

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menaruh harapan tinggi supaya Tan Sri Annuar Musa terus menerajui persatuan berkenaan sebagai presiden.

Timbalan Presiden Kafa Datuk Seri Afandi Hamzah berkata keputusan mesyuarat khas Exco Kafa sebulat suara menolak peletakan jawatan Presiden oleh Annuar kerana persatuan tersebut masih memerlukan khidmatnya.

"Tempoh jawatan itu (Annuar sebagai Presiden Kafa) akan berakhir pada 2018, maka khidmat beliau diperlukan bagi kecemerlangan Kafa sehingga tempoh berkenaan berakhir sebelum jawatan tersebut diambil alih individu lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, Selasa.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh, pada 8 November lalu, meletak jawatan sebagai Presiden Kafa berkuat kuasa serta merta.

Afandi berkata pihaknya merasakan tiada calon lain yang layak menggantikan Annuar dalam tempoh berbaki itu.

"Kami melihat Annuar membuktikan beliau berjaya mentransformasikan Kafa dan sukan bola sepak Kelantan dengan cemerlang sejak mengambil alih jawatan itu pada 2008," katanya.

Beliau berkata pihaknya memohon 'Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan' itu untuk mempertimbangkan keputusan mesyuarat pada hari ini.

"Kami akan berjumpa beliau dalam masa terdekat bagi memaklumkan keputusan mesyuarat ini, selain memohon semua pihak berilah peluang dan ruang kepada kami untuk terus laksanakan tugas bagi menyelesaikan perkara-perkara berkaitan pasukan dan persatuan," katanya. 

Mengenai pembentukan pasukan dan kontrak pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, Afandi berkata pasukan Kelantan sudah mempunyai 22 pemain yang akan didaftarkan untuk musim 2017.

"Majoriti pemain Kelantan musim lalu masih mempunyai kontrak bersama pasukan sehingga akhir liga 2017, cuma pemain import bergantung kepada jurulatih yang dilantik bagi mengendalikan pasukan musim depan," katanya.-- Bernama 


Kafa, Annuar Musa, Afandi Hamzah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain