suria

Sukma: Nur Aisyah Tambah Dua Emas

Nur Aisyah meraikan kejayaannya. - foto GLENN GUAN/The Star

KUCHING: Pelumba pelapis kebangsaan, Nur Aisyah Mohamad Zubir dari Terengganu terus mempamerkan kayuhan cemerlang selepas menambah dua lagi pingat emas dalam acara berbasikal pada Sukma Sarawak di Jalan Bandar Baru Semariang, Sabtu.

Pelumba berusia 19 tahun itu yang meraih emas sulung dalam acara 30km Ujian Masa Individu pada Jumaat, berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi dalam acara 100km perlumbaan lepas beramai-ramai individu pada Sukma Perlis 2014 selain membantu negeri berkenaan meraih emas dalam acara berpasukan.

Komisar pertandingan memutuskan Nur Aisyah dan dua peserta lain iaitu wakil Selangor, Nurul Alissa Mohamad Azman dan peserta tuan rumah, Nurazrenna Ahmad Jumry mencatat masa yang sama iaitu 2 jam 50 minit 42 saat setelah melintasi garisan penamat secara berkelompok dalam acara individu.

Terengganu turut meraih emas dalam acara berpasukan dengan catatan keseluruhan 8 jam 36 minit 12 saat, diikuti Selangor dengan pingat perak (8'38.23 saat) manakala Pahang membawa pulang gangsa selepas melakar masa 8 jam 44 minit 36 saat.

Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu Datuk Rozi Mamat menyampaikan pingat kepada kesemua pemenang.

Kejayaan hari ini jelas menyemarakkan hasrat Nur Aisyah untuk memburu dua lagi pingat emas dalam ujian masa serta kriterium berpasukan wanita pada penampilan ketiga pada Sukma selepas edisi 2012 dan 2014.

"Hari ini, pasukan cuma sasarkan berpasukan tetapi kejayaan menang emas acara individu merupakan bonus untuk diri saya.Saya ingin mendedikasikan pingat emas ini kepada kedua ibu bapa saya, keluarga, jurulatih serta kerajaan negeri Terengganu yang banyak memberikan bantuan," katanya.

Ketua jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan pula mengintai peluang untuk negeri berkenaan menambah kutipan pingat dalam acara 142km lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki, Ahad.

"Saya lihat saingan untuk pingat emas adalah dari tuan rumah sendiri, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

"Saya juga amat gembira kerana pelumba kita cepat menyesuaikan diri dengan keadaan jalan raya serta tiupan angin yang boleh dikatakan hampir sama ketika kita menjalani latihan persediaan di Thailand sebelum ini," jelasnya.

Kejayaan dua emas diraih Terengganu menyaksikan mereka mendahului carta pungutan pingat acara berbasikal dengan empat emas, satu perak dan tiga gangsa, diikuti Selangor di tangga kedua (2-5-1) dan Johor di tangga ketiga dengan dua emas, satu perak dan satu gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain