SUNDERLAND telah melantik bekas pengendali Manchester United, David Moyes sebagai pengurus baharu kelab tersebut menggantikan Sam Allardyce. Allardyce telah diumumkan sebagai pengurus England baharu pada Jumaat sekaligus meninggalkan posisinya di Stadium of Light. Laman rasmi kelab telah mengumumkan Moyes,53, dilantik sebagai pengganti Allardyce dengan perjanjian kontrak selama empat tahun. Moyes merupakan pilihan pertama Pengerusi kelab Ellis Short untuk menguruskan Black Cats. "Saya telah dipilih oleh salah sebuah kelab British terbesar dengan penuh sokongan. "Saya bersedia untuk kembali bertugas dalam saingan Liga Perdana Inggeris," jelas Moyes. Pengurus dari Scotland itu tidak bekerja sejak dipecat kelab Sepanyol Real Sociedad pada November lalu. Sunderland bakal berdepan dengan Rotherham pada Sabtu sebelum berangkat ke Perancis bagi perlawanan persahabatan bertemu FC Stade Nyonnais, Dijon FCO dan Montpellier. Perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris yang bakal diuruskan Moyes ialah pada 13 Ogos ini bertemu Manchester City. Rekod Moyes sebagai pengurus: 1998–2002 Preston North End 2002–2013 Everton 2013–2014 Manchester United 2014–2015 Real Sociedad 2016–Sunderland