suria

"Biarlah Rahsia" Aliff Syukri Jadi Tanda Tanya

Status Alif Syukri di laman Facebooknya mengundang pelbagai persoalan.

PETALING JAYA: Susulan keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menolak tawaran tajaan RM30 juta daripada Syarikat D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D'Herbs), pengasasnya Datuk Aliff Syukri Kamarzaman sekadar meletakkan status "biarlah rahsia" di laman Facebook miliknya, petang Rabu.

"Biarlah rahsia," tulisnya ringkas.

Di bawah status itu, beliau turut memuatnaik paparan skrin ayat berbunyi "Orang kalau dah tawar hati kau cakap apa pun dia malas nak layan sebab dia dah kecewa, hati dia pun dah hancur."

Status tersebut seolah-olah menggambarkan luahan hatinya susulan perkembangan terbaharu itu yang secara langsung isyarat beliau enggan mengulas mengenai punca KFA menolak tawaran penajaan selama tiga tahun itu.

Berikutan status tersebut, ruangan komen di laman Facebooknya turut dipenuhi pertanyaan penyokong skuad Helang Merah yang inginkan kepastian mengenai perkara berkenaan.

Seorang pengguna Facebook, Saiffu Al'Shaari meminta Aliff Syukri supaya memberi penjelasan kepada rakyat Kedah punca KFA menolak tawaran tajaan syarikat kosmetik miliknya itu.

"Datuk tolong cerita sat bagi semua rakyat Kedah tau pasai KFA tolak tajaan D'herbs... takkan angin tak dak pokok boleh bergoyang Datuk... please Datuk," katanya.

Seorang lagi penyokong Kedah, Tem Mustafa turut tertanya-tanya mengenai permintaan beliau sehingga KFA terpaksa menolak tawaran penajaan tersebut.

"Datuk minta apa sampai KFA tolak ni? Dengar cerita diluar kemampuan KFA. Hari tu cakap tak minta apa-apa sangat," tulisnya di Facebook.

Usaha mStar Online untuk menghubungi Aliff Syukri bagi mendapatkan komen beliau mengenai keputusan KFA tidak berjaya kerana panggilan tidak dijawab.

Namun beliau hanya membalas pesanan menerusi WhatsApp yang dihantar dengan memberitahu akan mengadakan sidang media dalam terdekat bagi menjelaskan perkara tersebut.

"Minta maaf, saya akan buat PC (sidang media)," katanya.

Pada petang Rabu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata,  keputusan penolakan tajaan itu dibuat selepas mendapati beberapa syarat yang ditetapkan pihak penaja sukar diterima badan induk bola sepak negeri itu.

"Selepas perbincangan dibuat dalam mesyuarat pengurusan KFA, kami dapati ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh D'Herbs tidak boleh diterima dan dilihat  boleh menyukarkan pihak KFA, namun isi kandungan syarat tidak boleh diberitahu.

"Walaupun tajaan tidak diteruskan, KFA berterima kasih kepada pihak D'Herbs  atas kesudian untuk membantu menaikkan imej KFA dan berharap jalinan kerjasama dapat diteruskan menerusi medium lain," katanya dalam sidang media di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Pada 23 April lalu, Aliff Syukri yang juga pengasas D'Herbs mengesahkan syarikatnya bersetuju menaja RM30 juta kepada skuad Helang Merah untuk tempoh tiga tahun bagi membiayai program pembangunan bola sepak dan membaiki Stadium Darul Aman.

Alif Syukri, D'Herbs, KFA

Artikel Lain