suria

Atlet Angkat Berat Dapat Satu Slot Ke Sukan Olimpik

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik dalam acara angkat berat melalui Amirul Hamizan Ibrahim pada 2008.

KUALA LUMPUR: Jumlah atlet kontinjen negara ke temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada Ogos ini makin bertambah apabila atlet angkat berat berjaya mendapatkan satu lagi slot untuk beraksi di sana.

"Malaysia layak secara merit menerusi kuota negara Asia selepas berada di kelompok tujuh daripada 18 pasukan yang belum layak secara individu," kata Unit Media Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu seramai lapan atlet angkat berat -- dua daripada Program Podium dan enam daripada Program Kita Juara 2017 -- telah menyertai Kejohanan Angkat Berat Asia di Tashkent, Uzbekistan dari 21 hingga 30 April yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Kejohanan yang disertai 262 atlet dari 33 buah negara Asia menawarkan tujuh kuota  sahaja bagi atlet lelaki ke Sukan Olimpik Rio...satu kuota bagi satu NOC untuk 18 negara Asia yang masih belum layak (melalui kelayakan individu),"kenyataan itu.

Penentuan atlet mana yang bakal membawa cabaran Malaysia pada temasya Olimpik kali ini hanya akan ditentukan menerusi perbincangan antara MSN dengan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak lama lagi.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik dalam acara angkat berat ialah melalui Amirul Hamizan Ibrahim pada 2008. -Bernama

Angkat Berat, Sukan Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Lain