suria

Sandro Da Silva Tekad Tebus Kekalahan Kedah

PEMAIN import Kedah dari Brazil, Sandro Da Silva yang masih dibelenggu kecederaan kaki kiri berazam untuk menebus kembali kekalahan skuad Helang Merah kepada T-Team Rabu lalu dalam siangan Liga Super pada Sabtu.

Kedah yang tewas 1-4 ketika menentang T-Team akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Berikutan itu, Da Silva mahu memastikan Kedah tidak lagi tercicir mata penting dalam perlawanan kali ini meskipun sedar lawan dari selatan itu tidak mudah untuk ditewaskan.

"Saya berdoa agar Tan Cheng Hoe (ketua jurulatih) menyenaraikan nama saya dalam kesebelasan utama ketika menentang JDT.

"Saya yakin kami mampu bangkit pada perlawanan ini bagi membuktikan kekalahan kepada T-Team bukan kerana tidak mampu tetapi kesemua pemain terlalu letih selepas perlawanan sebelumnya.

"Kecederaan pada pergelangan kaki saya sudah pulih dan pada sesi latihan, saya mampu beraksi seperti biasa. Sekarang terserah kepada jurulatih untuk memilih kesebelasan utama," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Cheng Hoe memberitahu, Da Silva dan Khairul Helmi Johari masih belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam perlawanan menentang JDT.

Menurutnya, kelibat kedua-dua pemain utama itu menunjukkan mereka masih cedera walaupun masing-masing bersemangat untuk bermain semula.

"Keputusan untuk menggunakan khidmat mereka berdua akan dibuat sebelum perlawanan bermula dengan melihat situasi semasa kecederaan.

"Tetapi, Bang Seung Hwan dan Baddrol Bakhtiar dapat beraksi semula seperti biasa dalam perlawanan ini," jelasnya.

Cheng Hoe menambah, pemain diharap dapat memberi sepenuh perhatian dan tidak leka kerana JDT mempunyai pemain terbaik yang dapat mencipta gol pada bila-bila masa.

Katanya, kehadiran penyokong pasti dapat menaikkan semangat pemain untuk berjuang sepanjang permainan dan mencipta kemenangan kali ini.

Kedah, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Lain